SATU program amal di Kuantan, Pahang yang menjual sebanyak 165 kilogram (kg) ikan selayang segar pada harga 20 sen seekor habis dijual dalam tempoh sejam sahaja.
Program anjuran Dapur Infaq Ummah itu diadakan khusus untuk membantu penduduk yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Menurut Setiausaha Dapur Infaq Ummah, Zahir Shah Zahid, mereka memperoleh bekalan ikan selayang itu daripada nelayan tempatan.
“Kita bukan mencari keuntungan sebaliknya hanya untuk membantu golongan memerlukan yang terkesan dengan pelaksanaan PKP3.0,” katanya, semalam.
Mengulas lanjut, Zahir Shah berkata, aktiviti jualan itu bermula pada pukul 9.30 pagi dan orang ramai mula beratur panjang mengikut jarak ditetapkan.
“Namun satu keluarga hanya boleh membeli sekilogram ikan dengan harga RM5 sahaja.
Ujarnya, dia tidak menolak kemungkinan untuk menjual barangan keperluan lain bagi membantu orang ramai.
“Kita juga mempelawa mana-mana pihak yang bermurah hati untuk memberi sumbangan bagi mengisi dana untuk membantu golongan memerlukan.
“Selain itu, kerajaan negeri dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) turut menghulurkan sumbangan beberapa pihak lain,” tambahnya.
Leave a Reply