tugas

Ismail Sabri mulakan tugas PM secara rasmi

by

in

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini memulakan tugas secara rasmi di Perdana Putra di sini.

Ketibaan Ismail Sabri di blok utama Perdana Putra yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri pada jam kira-kira 8.25 pagi itu disambut Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Jamil Rakon.

Turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun, Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Affendi Buang.

Ismail Sabri yang mengenakan sut serba hitam dan kelihatan bersemangat kemudian mengimbas kad perakam waktu di pejabatnya di Aras 5 bangunan tersebut.

Ahli Parlimen Bera itu kemudiannya mengaminkan doa yang dipimpin oleh Pegawai Integriti JPM Muhd Redza Ahmad sebelum menandatangani Buku Selamat Datang.

Ismail Sabri sempat melambai tangan ke arah para pengamal media yang ‘berkampung’ di luar perkarangan Perdana Putra yang menunggu ketibaan beliau untuk memasuki Pejabat Perdana Menteri.

Ismail Sabri, 61, mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri kesembilan Malaysia, pada Sabtu.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan pelantikan itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Selepas melapor diri di Perdana Putra, Ismail Sabri hari ini dijadualkan mengadakan lawatan kerja pertamanya ke Kedah bagi meninjau keadaan kawasan yang terjejas akibat banjir susulan fenomena kepala air dari Gunung Jerai yang berlaku pada Rabu lepas.

Setakat ini, fenomena kepala air itu telah meragut  lima nyawa, dan seorang lagi masih hilang. Banjir itu dilaporkan turut menjejaskan kira-kira 800 rumah di Yan dan 200 rumah di Kuala Muda.

Semalam, Ismail Sabri dalam ucapan sulungnya sebagai perdana menteri memperkenalkan pendekatan ‘Keluarga Malaysia’ dengan mengajak rakyat pelbagai agama, bangsa dan kaum bersama-sama untuk memulihkan semula keadaan negara. – BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *