permohonan SOP negeri

114,474 permohonan rentas negeri ditolak sejak 1 Jun

by

in

SEBANYAK 114,474 permohonan merentas negeri ditolak sejak 1 Jun lepas kerana tidak memenuhi syarat permohonan yang ditetapkan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Zainal Abidin Kasim berkata antara sebab permohonan ditolak adalah kerana gagal menunjukkan dokumen perubatan berkaitan dan bukan pasangan jarak jauh.

Beliau berkata ada juga yang dikesan menyalahgunakan kebenaran yang diberikan.

“Selain itu, sebanyak 4,670 kompaun dikeluarkan atas kesalahan tidak patuh arahan Perintah Kawalan Pergerakan sejak 1 Jun lepas,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan kelonggaran bagi penerima vaksinasi lengkap antaranya kebenaran merentas negeri bagi pasangan suami isteri jarak jauh dan ibu bapa untuk berjumpa anak-anak di bawah umur 18 tahun, berkuat kuasa 10 Ogos. 

Kerajaan kemudian turut membenarkan 11 jenis aktiviti ekonomi dalam sektor perdagangan dan pengedaran kembali beroperasi dalam Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN), berkuat kuasa 16 Ogos.

Kerajaan kemudian memberikan kemudahan tambahan bagi sektor sosial dan ekonomi di negeri Fasa Satu PPN dan seterusnya, termasuk aktiviti boleh makan di premis atau ‘dine-in’ bagi individu yang sudah mendapat dos lengkap mulai 20 Ogos.

Zainal Abidin berkata masyarakat perlu sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi menghindari diri daripada terkena jangkitan wabak COVID-19.

“(Kawalan) kendiri (itu) penting. Begitu juga (mereka yang terlibat) dengan sektor ekonomi, mesti mematuhi SOP (setelah diberi kebenaran untuk membuka semula operasi). Pasukan pematuhan SOP (Polis Diraja Malaysia) akan melakukan pemantauan,” katanya.- BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *