Oleh MOHD LAZIM ENDUT
SEORANG remaja yang bekerja sebagai tukang gunting rambut maut dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal di Jalan Kota Bahru-Kuala Terengganu, berhampiran Kampung Kubang Jela, Manir, malam tadi.
Dalam kejadian pada pukul 8.15 malam itu, mangsa, Khairino Fahmie Khairul Anuar Bashah, 25, meninggal dunia akibat mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketika kejadian, mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Teluk Menara, Manir selepas selesai bekerja di kedai gunting rambut di Seberang Takir, Kuala Nerus.
Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, motosikal Honda Spacy yang ditunggangi mangsa dari arah Batu Enam, Kuala Nerus dikatakan bergesel dengan sebuah motosikal dinaiki seorang remaja lelaki berusia 19 tahun.
Difahamkan remaja itu yang menetap di Kampung Kubang Jela mahu melintas jalan untuk membuang sampah di kawasan tong sampah awam yang terletak kira-kira 20 meter dari lokasi kejadian.
Ekoran kemalangan itu menyebabkan mangsa tercampak ke laluan bertentangan sebelum dirempuh sebuah motosikal Benelli RFS dinaiki seorang lelaki berusia 20-an.
Khairino Fahmie disahkan meninggal di lokasi kejadian manakala dua lagi mangsa hanya mengalami cedera ringan.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk dibedah siasat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din yang dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Leave a Reply