Tidak wajar debat isu pelantikan menteri Kabinet, serah kepada PM

Oleh RIZQI ZABIDI

ISU berkaitan pelantikan Menteri Kabinet tidak sewajarnya diperdebatkan dan hanya perlu diserahkan kepada kebijaksanaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, dalam keadaan sekarang terpulang kepada Perdana Menteri untuk membentuk kerajaan yang boleh menstabilkan keadaan politik untuk semua pihak bekerja bersama-sama.

Katanya, apa yang lebih penting adalah pandemik Covid-19 dapat diuruskan dengan baik manakala ekonomi pula dapat dibangunkan semula.

“Ini perkara penting dan akan menguji walau siapa juga yang menjadi Perdana Menteri.

“Tentang Timbalan Perdana Menteri, saya tak mahu komen dan serahkan kepada pucuk pimpinan parti. Kita tahu Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin seorang yang bijak dan beliau tentu tahu ke mana arah tuju parti dan negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di selepas menyampaikan sumbangan kepada penduduk Kampung Permatang Keramat di Yan, yang terjejas dalam tragedi kepala air di Gunung Jerai, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, beliau sendiri buat masa ini tidak tahu di mana akan ditempatkan selepas ini.

“Saya akan terus bekerja dan terpulang pada pimpinan parti hendak letak di mana. Kalau tak letak pun, tak apa,” katanya.

Sementara itu katanya, nama kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak seharusnya diperdebatkan ketika ini oleh mana-mana ahli politik.

“Secara logiknya kalau dilihat hari ni, wakil rakyat gabungan PN lebih besar daripada Barisan Nasional (BN). Itu definisinya kalau kita nak cakap politik.

“Tetapi hari ini kita kekalkan… Apa yang pasti, kita kekalkan PN itu sendiri,” katanya.

Tambahnya, rakyat boleh menilai mengenai kesungguhan kerajaan PN dalam berdepan cabaran yang cukup besar sebelum ini.

“Ini memberi satu ujian kepada sesiapa saja yang menjadi Perdana Menteri. Apa yang penting, kita dapat bekerjasama antara satu sama lain.

“Kalau boleh, kita bawa pendekatan kepada melangkaui parti. Siapa berkebolehan dan boleh bantu rakyat secara langsung atau tidak, boleh ke depan tanpa ada masalah,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *