Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
PEMUDA UMNO Johor menyanjung tinggi kepimpinan parti di peringkat Pusat kerana mengekalkan Prinsip ‘No DAP, No Anwar’.
Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, ini dibuktikan apabila UMNO tidak bergabung dengan DAP atau Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebaliknya bersetuju memilih Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri baharu.
“Ini satu keputusan tepat dan bermaruah. Diharapkan semua barisan kepimpinan dan akar umbi UMNO meneruskan gerak kerja dan merencana program tanpa perlu lagi toleh ke belakang. Ini masa untuk kita bekerja,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Kelmarin Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Ismail Sabri sebagai menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan Isnin lalu.
Keputusan itu ditetapkan Agong selepas Ismail Sabri menerima sokongan majoriti yang mencukupi iaitu seramai 114 ahli Dewan Rakyat dan beliau bakal mengangkat sumpah menjadi Perdana Menteri kesembilan semalam.
Mengulas lanjut, Mohd. Hairi berkata, pelantikan Seri Ismail Sabri juga diharap dapat menamatkan kemelut politik tanah air yang telah berlarutan sejak beberapa tahun lalu.
Pihaknya juga berharap kepimpinan baharu akan memberi tumpuan penuh kepada kesejahteraan negara kerana ketika ini rakyat terus ditekan dalam pelbagai aspek kehidupan akibat pandemik Covid-19.
“Tibalah masa fokus pada gerak kerja dan urus tadbir dalam mendepani pandemik Covid-19 serta kebajikan rakyat yang semakin mendesak dan terkesan dalam tempoh Pelan Pemulihan Nasional (PPN) ketika ini.
“Diharapkan barisan jemaah menteri baharu akan terus istiqamah dalam menjalankan tugas dan memainkan peranan berkesan memastikan rakyat dari segenap lapisan ekonomi tidak terpinggir dan mendapat bantuan yang diperlukan,” katanya.
Leave a Reply