Oleh MOHD LAZIM ENDUT
SEMUA jenis telur penyu dan tuntung adalah dilarang penjualannya di negeri ini, bermula tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr. Azman Ibrahim memberitahu, larangan itu akan mula dikuatkuasakan sebaik sahaja pindaan Enakmen Penyu Terengganu 1951 (Pindaan 1987) dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada November.
Sehinga ini katanya, proses pindaan enakmen tersebut sudah di peringkat akhir sebelum ia dibentangkan pada Sidang DUN nanti.
“Insya-Allah, enakmen itu akan diperketatkan lagi menerusi pindaan 2021 yang turut meliputi penjualan telur, peningkatan hukuman dan denda membabitkan kesalahan menganggu serta membunuh penyu,” katanya.
Beliau memberitahu demikian kepada pemberita selepas program penyerahan input pertanian secata ‘drive thru’ kepada 47 pengusaha Melon Manis Terengganu (MMT) di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Peradong, Manir, hari ini.
Menurut Dr. Azman, enakmen penyu Terengganu yang sebelum ini hanya menekankan dari segi pengharaman jualan telur penyu belimbing dilihat sudah tidak relevan dengan situasi semasa.
Justeru ujar beliau, bagi membolehkan usaha kerajaan negeri terus memulihara hidupan tersebut, enakmen sedia ada perlu dipinda dan diperketatkan.
“Peruntukan enakmen sedia ada hanya melarang penjualan telur penyu belimbing. Ia dilihat sudah tidak sesuai kerana penyu belimbing sudah lama tidak mendarat di pantai negeri ini di mana kali terakhir dilihat sekitar tujuh tahun lalu.
“Oleh itu, kita akan pinda satu enakmen baharu yang turut mengharamkan penjualan bagi semua jenis telur penyu di negeri ini untuk membolehkan kita memelihara semua spesies hidupan marin berkenaan.
Menurut beliau, pemantauan dijalankan terhadap penjualan telur penyu dan tuntung di samping maklumat awal mengenai pengharaman jualan telur haiwan berkenaan akan disalurkan dari masa ke masa.
Katanya, maklumat awal akan disampaikan kepada para peniaga dan apabila penguatkuasaan dijalankan ia tidak memberi kejutan kepada mereka.
“Kita yakin perubahan ini boleh diterima memandangkan kebanyakan penjualan telur ini bukan mata pencarian utama, ia sekadar pendapatan sampingan peniaga,” jelas beliau.
Leave a Reply