Seludup imigresen : Sindiket kenakan caj RM800 hingga RM1,500 seorang

RM800 hingga RM1,500 seorang – Itulah caj yang dikenakan oleh sindiket kepada migran yang diseludup masuk ke Malaysia.

Perkara itu terbongkar apabila Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan satu sindiket penyeludupan migran dalam operasi khas ‘Ops Seludup’ yang dilaksanakan  di kawasan Tanjung Sedili, Kota Tinggi, Johor.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi itu dijalankan pada 20 Ogos lalu oleh sepasukan pegawai imigresen dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas dengan bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

 ‘’Dalam operasi ini, dua orang dalang (tekong) ditahan melibatkan seorang bekas penjawat awam lelaki berumur 33 tahun dan seorang lelaki warganegara Indonesia berusia 35 tahun. Seramai 18 orang migran warganegara Indonesia yang diseludup masuk turut ditahan,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ketika operasi dijalankan migran berkenaan sedang diangkut dengan menggunakan tiga buah kenderaan yang masing-masing dipandu oleh kedua-dua orang tekong tersebut dan seorang lagi pemandu berjaya melarikan diri.

 ‘’Pasukan Operasi mendapat maklumat bahawa sekumpulan migran yang diseludup dijangka mendarat di Pantai Tanjung Lompat, Johor antara pukul 3 hingga pukul 5 pagi. Pasukan Operasi telah digerakkan dan berjaya memintas kenderaan-kenderaan yang membawa migran-migran tersebut,’’ katanya.

Selain tangkapan tekong dan migran, kata beliau, ketiga-tiga kenderaan yang digunakan telah disita dengan nilai anggaran  berjumlah RM130,000.

 ‘’Sindiket ini dipercayai telah bergerak aktif sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2020,’’ katanya.

Beliau berkata, modus operandi sindiket ialah menjalin kerjasama dengan tekong laut yang menyeludup migran dari negara jiran dan mendarat di pantai sekitar Johor.

”Tekong darat akan menyediakan pengangkutan untuk mengangkut migran-migran berkenaan sebelum diagihkan kepada majikan,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata, kesemua  migran yang ditangkap ini akan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa suatu Pas yang sah.

‘’Manakala kedua-dua tekong tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 bagi kesalahan menyeludup migran. Mereka boleh dihukum penjara tidak melebihi 15 tahun, dan boleh juga dikenakan denda, atau kedua-duanya. Kesemua mereka sedang ditahan reman,’’ katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *