PGA gempur tempat simpanan rokok seludup

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

KEGIATAN satu sindiket menjadikan sebuah premis di Tongkang Pechah di sini terbongkar apabila Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam melakukan dua serbuan semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superitendan Dimin Awang berkata, serbuan pertama dilakukan pada jam 3 petang di sebuah rumah Jalan Malinja, Taman Santalia.

Susulan itu katanya, serbuan kedua dilakukan di jalan yang sama tidak jauh dari serbuan di rumah pertama.

“Menerusi serbuan kedua, hasil siasatan pihak polis merampas 151 karton rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM4,877.

“Kita juga merampas sebuah kereta Proton Saga BLM dan dua buah telefon bimbit serta berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berumur 64 tahun.

“Suspek dipercayai bertanggungjawab membekalkan rokok seludup sekitar kawasan Tongkang Pechah. Premis tersebut juga dipercayai dijadikan tempat menyimpan dan menjual rokok lari cukai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Anggaran keseluruhan nilai rampasan itu katanya, berjumlah RM40,764, tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat IPD Batu Pahat untuk tindakan lanjut.

Beliau memberitahu, kes disiasat dibawah Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967.

Dimin menyeru orang awam untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi jalan yang tidak diwartakan melalui talian hotline 07-7557280.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *