Oleh MOHD LAZIM ENDUT
SEORANG nelayan dilaporkan hilang setelah keluar mencandat sotong
di perairan Pantai Sabak, Kota Bharu Kelantan sejak Rabu lalu.
Kehilangan Mohd. Rafi Omar, 37, mula disedari kakaknya, Zakiah Omar, 51, pagi semalam ekoran mangsa tidak pulang selepas keluar rumah pada pukul 11.59, 18 Ogos lalu.
Bimbang terhadap keselamatan adiknya, kakak mangsa kemudian membuat laporan pagi semalam.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman memberitahu, pencarian mangsa kini telah memasuki hari kedua dan dilakukan sekitar 67.35 batu nautika persegi dari jeti Pulau Gajah.
“Operasi pencarian menggunakan kapal KM Tok Bali manakala Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) menggunakan bot masing-masing dengan melibatkan kekuatan anggota terbabit seramai 25 orang.
“Selain itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut dibantu komuniti nelayan menggunakan enam bot di mana sektor pencarian menjurus kepada tepi pantai dan lokasi yang dikatakan mangsa sering berada,” katanya hari ini.
Mohd. Rafi dilaporkan keluar seorang diri dengan menaiki bot gentian kaca miliknya untuk mencandat sotong dan keluarga membuat laporan selepas tiga hari lelaki berkenaan tidak pulang.
Katanya, difahamkan pada malam Khamis, mangsa yang berasal daripada Kemumin dilihat oleh beberapa rakan nelayan lain berada kira-kira 34 kilometer dari muara Kuala Senok, Bachok.
Beliau berkata, rakan-rakan mangsa telah mengajak pulang, namun ditolak oleh mangsa dengan alasan ingin memperoleh lebih banyak sotong.
Menurut Syed Nor Adli, sejak dua hari misi SAR diadakan, pihaknya belum menemukan sebarang petunjuk.
Malah, beliau juga menolak kehilangan mangsa ada kaitan dengan faktor cuaca kerana beberapa hari kebelakangan ini, cuaca dalam keadaan baik.
“Setakat ini misi SAR berjalan lancar tanpa sebarang halangan, cuaca juga agak baik dan kita harap ia akan terus berjalan lancar,” ujarnya.
Dalam pada itu syed Nor Adli turut menasihati orang ramai terutama nelayan yang keluar ke laut agar sentiasa berwaspada dengan menitikberatkan keselamatan diri.
“Memandangkan sekarang sudah memasuki musim monsun timur laut, nelayan yang ingin turun ke laut mestilah menitikberatkan aspek keselamatan dengan menyediakan segala kelengkapan diri dan bot bagi mengelakkan berlakunya perkara tidak diingini,” jelas beliau.
Leave a Reply