Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
MUAFAKAT Nasional (MN) Selangor menyeru perebutan kuasa politik dihentikan segera bagi memberi fokus untuk memulihkan negara.
Menerusi satu kenyataan bersama-sama, Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi berkata, seruan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi ucapan sulungnya petang tadi yang menyeru semua pihak untuk mencari titik persamaan membuktikan beliau amat yakin penyatuan dan perpaduan merupakan aspek penting dalam membina sebuah negara stabil.
Menurutnya, ucapan yang disampaikan Perdana Menteri itu juga cukup padat dan mencerminkan sebuah kepimpinan yang prihatin dalam membela nasib rakyat khususnya sewaktu pandemik Covid-19 ini.
“Bagi MN Selangor, komitmen untuk memperkasakan pelan menghadapi Covid-19 dengan lebih komprehensif sebagaimana ditekankan oleh Perdana Menteri adalah sangat tepat dan amat disambut baik,” kata kenyataan itu, hari ini.
Ismail yang juga Ahli Parlimen Bera mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam.
Sementara itu, menurut kenyataan berkenaan, MN Selangor juga komited untuk menjayakan hasrat yang digariskan Ismail Sabri dan menyeru seluruh rakyat agar dapat menyokong usaha berkenaan.
“Iltizam Perdana Menteri untuk memperkukuhkan asas ekonomi negara di samping mengembalikan daya saing Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama di rantau ini amat disambut baik,” katanya.
Leave a Reply