Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
SEBUAH kapal tangki dari Norway ditahan kerana berlabuh tanpa kebenaran di kedudukan 27.8 batu nautika barat daya Sekinchan, semalam.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menahan kapal asing itu pada pukul 1 petang selepas pengesanan visual melalui Sistem Pengawasan Laut (SWASLA).
Maklumat itu katanya, kemudian disalurkan kepada bot peronda Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan Op Benteng Laut dan Op Ehsan.
“Kapal yang berdaftar di Norway itu didapati membawa 20 kru lelaki termasuk nakhoda yang berusia antara 28 hingga 58 tahun terdiri daripada warga Norway, Rusia, Latvia dan Filipina serta mempunyai dokumen diri yang sah.
“Hasil pemeriksaan, kapal tersebut dalam perjalanan dari Singapura dan singgah berlabuh di perairan Malaysia bagi menunggu arahan tugas seterusnya dari pihak syarikat yang berpangkalan di Norway,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, siasatan lanjut mendapati, nakhoda kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh dan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana berlabuh tunggu tanpa kebenaran dari Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.
Sabit kesalahan katanya, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau sehingga penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.
“Perintah penahanan ke atas kapal tersebut telah dikeluarkan dan dua kru kapal dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut,” katanya.
Leave a Reply