Hanya 13 PPV ‘walk-in’ Lembah Klang beroperasi esok

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

HANYA 13 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Lembah Klang yang akan menerima individu untuk mendapatkan suntikan vaksin secara terus tanpa janji temu atau ‘walk-in’ bermula esok.

Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) mengambil langkah tersebut setelah pihaknya mendapati kadar kehadiran warganegara Malaysia di PPV untuk pemberian vaksin secara terus itu semakin berkurangan.

“Oleh itu, walk-in untuk semua warganegara Malaysia di Lembah Klang akan diteruskan tetapi di 13 PPV tertentu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PPV yang terpilih bagi melaksanakan vaksinasi itu bermula esok ialah Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) HCO F, HCO G dan HCO H; Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC), Axiata Arena Bukit Jalil, Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam dan Hotel Wyndham, Klang.

Selain itu, PPV Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Dewan Seri Bernam di Sabak Bernam, Stadium Tertutup Kuala Selangor dan Dewan Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Kuala Langat.

Sementara empat lagi PPV secara terus tanpa janji temu yang akan bermula Rabu dan Khamis depan iaitu PPV Le Pavilion Gamuda Garden di Gombak, Bukit Beruntung Golf Resort manakala hari Khamis pula ialah di PPV Galaxy Mall Ampang serta di Universiti Multimedia, Cyberjaya.

Dalam pada itu, CITF memaklumkan kaedah vaksinasi secara terus kepada warga asing di Lembah Klang dikhususkan di PPV Stadium Bukit Jalil (PPV SNBJ) yang akan dilaksanakan sehingga hari ini sahaja.

“Kaedah walk-in bagi warga asing akan digantikan dengan vaksinasi melalui kaedah janji temu. Ini bermakna, PPV SNBJ tidak lagi menerima walk-in bukan warganegara bermula esok.

“Langkah ini diambil supaya proses vaksinasi warga asing yang menyaksikan sambutan amat baik selama tempoh ia dilaksanakan dapat berjalan dalam keadaan yang lebih selamat dan selesa,” katanya.

CITF menambah, setiap warganegara dan warga asing yang hadir ke PPV melalui kaedah janji temu perlu membuktikan bahawa mereka adalah pemastautin di Lembah Klang dengan mebawa surat atau dokumen yang berkenaan seperti kad kerja, bil utiliti atau sebarang dokumen lain yang berkaitan.

Berikutan itu, warga asing yang masih belum mendaftar untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) perlu berbuat demikian sama ada melalui MySejahtera, talian PICK di 1800-888-828 atau laman web www.vaksincovid.gov.my supaya janji temu dapat diberikan.

CITF menjelaskan langkah berkenaan hanya untuk penduduk Lembah Klang sahaja, manakala program vaksinasi secara terus tetap berjalan seperti biasa bagi penduduk di negeri lain dan bergantung kepada negeri masing-masing.

CITF berkata, individu yang terlepas suntikan dos kedua boleh hadir ke mana-mana PPV yang disenaraikan yang berhampiran dengan kediaman.

“Sekiranya PPV berkenaan tidak menawarkan vaksin dari jenis yang sama dengan dos pertama, mereka akan dirujuk ke PPV yang lain.

“Walk-in juga adalah berdasarkan kaedah first come first serve (mendahulukan siapa yang cepat) bergantung kepada kapasiti bekalan di PPV berkenaan iaitu individu walk-in akan diletakkan di bawah satu senarai untuk diminta hadir semula pada keesokan harinya sekiranya bekalan vaksin pada hari itu sudah habis digunakan,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *