Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
KERAJAAN Johor membenarkan 11 sektor ekonomi dibuka selaras ketetapan terbaharu bagi negeri-negeri di bawah Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang berkuat kuasa kelmarin.
Perkara itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Ayub Jamil dalam satu kenyataan malam tadi.
Menurut beliau, keputusan itu berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) terbaharu dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“11 jenis sektor perdagangan dan pengedaran serta sektor pasar yang dibenarkan beroperasi adalah kedai cuci kenderaan; kedai elektrik dan elektronik; kedai barangan rumah dan peralatan dapur; kedai perabot; kedai peralatan sukan dan kedai aksesori kenderaan.
“Ini termasuk pusat pengedaran dan jualan kenderaan; kedai pakaian, fesyen dan aksesori; kedai barang kemas; kedai gunting rambut dan pusat atau salun kecantikan (perkhidmatan gunting rambut asas sahaja) serta pasar (pasar pagi, pasar tani, pasar malam dan pasar minggu),” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, kesemua sektor berkenaan dibenarkan beroperasi dengan syarat pemilik premis perlu memastikan pelanggan membuktikan mereka telah menerima vaksin lengkap.
“Adalah diingatkan seseorang individu itu hanya diiktiraf sebagai telah lengkap divaksin apabila telah memenuhi kriteria ditetapkan.
“Bagi vaksin yang memerlukan dua dos suntikan iaitu Pfizer, AstraZeneca, dan Sinovac, individu berkenaan mestilah telah melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua,” katanya.
Sementara bagi vaksin yang memerlukan satu dos suntikan iaitu Johnson and Johnson dan CanSino, beliau berkata, individu berkenaan perlul melepasi hari ke-28 dari tarikh suntikan.
Menurutnya, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri yang dipengerusikan Menteri Besar Johor pada Jumaat juga membenarkan sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian beroperasi di seluruh Johor.
Jelasnya, ini berpandukan SOP ditetapkan MKN serta memastikan kapasiti pengoperasian bergantung kepada kadar vaksinasi lengkap pekerja.
“Selain itu, Ujian RTK Antigen ke atas pekerja perlu dilaksanakan setiap dua minggu dengan kos ditanggung majikan dan majikan perlu mengisytihar kadar vaksinasi lengkap pekerja melalui Sistem CIMS 3.0,” katanya.
Sekiranya terdapat ketidakpatuhan SOP di premis terlibat katanya, penguatkuasaan tegas dan bersesuaian akan diambil termasuk menutup premis atau menghentikan operasi yang berkenaan,” ujarnya.
Sehubungan itu, Ayub berharap semua peniaga dan pelanggan mematuhi SOP ditetapkan di samping berjaga-jaga dan berusaha membendung pandemik Covid-19 di negeri ini.
Leave a Reply