Kajian dedah Delta membiak dalam hidung – Dr Noor Hisham

TIDAK hanya boleh merebak dalam tempoh lima hingga 15 saat serta tersebar melalui udara, kajian baharu mengenai varian Delta, mendapati varian berkenaan boleh membiak dalam hidung individu yang sudah mendapat vaksin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kajian awal terhadap satu kes jangkitan mendapati, varian itu membiak di dalam hidung individu yang sudah divaksinasi seolah-olah dia belum mendapatkan vaksin.

Menurutnya, virus itu yang membiak itu sama penularannya kepada orang yang tidak divaksinasi.

“Ini bermaksud individu yang sudah divaksin tetap dapat menyebarkan virus berkenaan serta menjangkiti orang lain,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Sebelum ini beberapa kajian yang dijalankan di hospital di India, Provincetown, Massachusetts dan Finland juga turut mendapati selepas penularan varian Delta, terdapat banyak virus dikesan di dalam hidung seseorang indvidu itu sama ada mereka diberi vaksin atau tidak.

Mengulas lanjut Dr Noor Hisham berkata, meskipun terdapat kemungkinan varian Delta itu boleh menjangkiti orang lain, individu yang divaksin masih dapat dilindungi daripada gejala yang lebih teruk serta kematian.

Ujar beliau, ini sekali gus mengurangkan kemasukan pesakit ke hospital dan penggunaan ICU.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham berharap semua orang mengambil suntikan vaksin Covid-19 demi mengelakkan risiko yang lebih tinggi terhadap jangkitan varian Delta itu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *