PARTI Gerakan Rakyat Pulau Pinang berharap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilantik sebagai Perdana Menteri Kesembilan dapat terus mengambil berat permintaan dan keperluan penduduk negeri itu.
Pengerusinya, Oh Tong Keong berkata, kerjasama antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang adalah penting dan amat diperlukan supaya pelbagai masalah di negeri itu dapat ditangani khususnya dalam kerja mengawal penularan Covid-19.
Menyifatkan Ismail Sabri berdepan cabaran berat, tambah beliau, Perdana Menteri baharu itu perlu berganding bahu dengan setiap kerajaan negeri untuk meredakan keadaan Covid-19 di negara ini.
Dalam masa sama jelasnya, Ismail Sabri juga perlu memastikan pelabur asing terus melabur di Malaysia untuk mengelakkan kemerosotan ekonomi susulan daripada ketidakstabilan politik dan keadaan Covid-19 sebelum ini.
“Pelantikan Perdana Menteri kesembilan kini telah muktamad.
“Dengan itu, kami menggesa semua pemimpin politik sama ada dari pihak kerajaan atau pembangkang hentikan perbalahan politik dengan segera, tumpukan usaha mengekang penularan Covid-19 dan memacukan semula ekonomi negara kita,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam masa sama, tambah Tong Keong, Ismail Sabri juga perlu mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk menarik pelabur asing ke Malaysia khususnya dan Pulau Pinang untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan sekali gus mengatasi masalah pengangguran.
“Beliau juga harus mengambil berat isu kritikal yang dihadapi penduduk Pulau Pinang dan memberi bantuan dalam menangani masalah-masalah itu.
“Sebagai contoh keadaan Covid-19 di Pulau Pinang ketika ini masih serius selain terdapat masalah kekurangan bekalan vaksin untuk negeri ini,” katanya.
Sementara itu, beliau turut berharap Pakatan Harapan (PH) khususnya Kerajaan PH Negeri Pulau Pinang mengetepikan perbezaan politik dan meletakkan keutamaan membantu rakyat.
“Mereka perlu memberi kerjasama yang sepenuhnya kepada Perdana Menteri dan kerajaan baharu dan bersama-sama mengekang pandemik Covid-19 serta membantu rakyat mengharungi cabaran ini,” katanya.
Leave a Reply