Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
UMNO mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-9.
Parti itu dalam satu kenyataan memberitahu, Presiden dan kepemimpinan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) serta Ahli UMNO seluruh negara turut mengucapkan tahniah atas pelantikan itu.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam Twitter hari ini berharap Ismail Sabri akan menjadi Perdana Menteri yang berjaya.
Ahl Parlimen Pontian itu berkata, Ismail Sabri perlu memastikan perang terhadap Covid-19 dimenangi.
“Perdana Menteri juga perlu perbaiki ekonomi rakyat, menstabilkan politik, mengharmonikan masyarakat serta memulihkan negara keseluruhannya. Moga Allah sentiasa membantu beliau dan Kabinetnya,” katanya.
Sementara itu, Muafakat Nasional (MN) Selangor yakin pelantikan Ismail Sabri Yaakob akan mempertingkatkan lagi usaha ke arah menyatupadukan umat Melayu Islam dan penduduk berbilang bangsa khasnya di negeri itu dalam usaha mencapai kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Dalam kenyataan bersama, Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi berkata, MN Selangor akan memberikan kerjasama penuh kepada Ahli Parlimen Bera itu dalam melaksanakan tugasnya.
‘’MN Negeri Selangor cukup yakin dan percaya dengan kemampuan dan kebolehan beliau, lebih-lebih lagi setelah berpengalaman bekerja bersama dalam tiga PRK di negeri ini termasuklah mencatatkan kemenangan besar dalam PRK DUN Semenyih,’’ kata mereka
Kedua-dua pemimpin itu juga berharap Ismail Sabri dapat memberi keutamaan dan tumpuan kepada Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam menghadapi pandemik Covid 19 dan membina ekonomi negara.
Leave a Reply