PM: Ismail sudah dapat majoriti, apa perlu kerajaan perpaduan?

Oleh : ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR

Apabila kerajaan hilang majoriti berbagai usaha telah dilakukan untuk menyelamatkannya demi rakyat dan masa depan negara.

Dalam suasana genting menghadapi pandemik ini kita tidak mampu untuk melihat urusan kerajaan terganggu lantaran kehilangan majoriti. Rakyat bosan dengan politiking, rakyat mahu penyelesaian dan mahukan kehidupan kembali normal.

Lalu diusahakan berbagai cara termasuklah ada yang mencadangkan dibentuk kerajaan perpaduan, dimana semua parti membentuk kerajaan tanpa pembangkang.

Akhirnya Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri ketika itu menawarkan CSA, perjanjian damai dengan pembangkang dengan pelbagai insentif termasuklah menaik taraf jawatan Ketua Pembangkang setaraf Menteri penuh.

Tawaran ini luar biasa. Tawaran ini jika diterima bakal merobah landskap politik negara di mana kerajaan minoriti kekal memerintah dengan dokongan dan sokongan pihak pembangkang.

Malangnya segala tawaran murni itu ditolak mentah-mentah oleh pembangkang khasnya PH termasuklah Warisan dan Pejuang. Mereka tidak mahu menyelamatkan kerajaan. Mereka mahu menjatuhkan kerajaan. Itu pilihan mereka.

Akibatnya Perdana Menteri terpaksa meletakkan jawatan dan serahkan segala urusan pada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong.

Dan Agong pun telah melaksanakan pelan Seri Paduka iaitu semua 220 MP yang ada dititah memilih dengan rela hati calon Perdana Menteri masing-masing. Sudah pasti Tuanku mahu lihat siapa yang memiliki majoriti lantas layak diangkat sebagai Perdana Menteri menurut lunas Perlembagaan.

Hari ini walaupun Istana masih belum mengumumkan kita difahamkan 114 MP mewakili Pas, BN, Bersatu, GPS dan lain-lain telah mencalonkan Ahli Parlimen Bera Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Ke-9.

114 sudah melebihi angka majoriti mudah 111. Insyallah dengan perkenan Tuanku Malaysia bakal melihat Perdana Menteri baharu yang punya majoriti dan selayaknya diberi kepercayaan memerintah negara.

Bagaimana dengan idea kerajaan perpaduan dan tawaran CSA? Segalanya sudah akademik dan tidak relevan lagi memandangkan calon Perdana Menteri sudah punya majoriti.

Semoga negara dan rakyat terus selamat, aman dan sejahtera di bawah Perdana Menteri baharu dan kerajaan baharunya.

*Penulis adalah Setiausaha Pas Selangor.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *