Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
PRESIDEN MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong mengucapkan taniah kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas perlantikan beliau sebagai Perdana Menteri yang kesembilan.
Ahli Parlimen Ayer Hitam itu menerusi Facebook rasmi beliau berharap, Malaysia akan terus memerangi Covid-19 susulan pelantikan tersebut.
“Mudah-mudahan dengan pelantikan ini, Malaysia dapat meneruskan usaha memerangi wabak Covid-19 untuk kepentingan dan keselamatan rakyat serta kesejahteraan negara seperti yang dinyatakan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Hari ini Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Ismail Sabri sebagai menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan Isnin lalu.
Menerusi satu kenyataan dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, keputusan itu ditetapkan Seri Paduka Baginda selepas Ismail Sabri menerima sokongan majoriti yang mencukupi iaitu seramai 114 ahli Dewan Rakyat.
Leave a Reply