KPDNHEP

KPDNHEP tahan lelaki jual gula RM5 sekilogram

TINDAKAN seorang lelaki mengaut keuntungan secara keterlaluan apabila menjual gula pada harga RM5 sekilogram mengundang padah apabila dia ditahan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), semalam.

Selain itu, lelaki berusia 25 tahun itu juga didapati beroperasi tanpa lesen yang sah di Jalan Lintas, Kota Kinabalu.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Pejabat KPDNHEP Tuaran, Saripudin Moleng, operasi kira-kira pukul 3.30 petang itu dibuat hasil aduan orang awam dan risikan pihaknya.

“KPDNHEP menemukan sebanyak 96 kilogram gula pasir yang diletakkan di dalam kenderaan lelaki berkenaan sebelum bertindak menahannya selepas disyaki menjual gula tanpa lesen sah.

“Suspek juga didapati menjual gula sehingga RM5 sekilogram mengikut lokasi pembeli dan harga terbabit melebihi harga siling yang ditetapkan kementerian iaitu RM2.85 sekilogram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Saripuddin menjelaskan, hasil siasatan kemudiannya mendapati suspek menjual gula itu secara tempahan di sekitar Kota Kinabalu dan Kota Belud.

Ujar beliau, keseluruhan barang yang disita bernilai lebih RM12,000 termasuk 96 kilogram gula yang berjumlah RM273.60.

Beliau menambah, kes terbabit disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan, mana-mana individu boleh didenda maksimum RM1 juta atau dipenjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *