YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah menzahirkan harapan agar dengan pelantikan Perdana Menteri baharu, kemelut politik dapat diakhiri dengan segera dan kesemua Ahli-ahli Dewan Rakyat dapat mengenepikan agenda politik dengan bersatu hati dan bersepakat berusaha menangani pandemik Covid-19 demi kepentingan rakyat dan negara.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka mengulangi pandangan bahawa rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan pada ketika negara bergelut menghadapi isu kesihatan dan kemurungan ekonomi akibat pandemik Covid-19.
‘’Ahli-ahli Dewan Rakyat turut diingatkan supaya mempamerkan solidariti dengan memberikan keutamaan, komitmen yang tinggi dan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,’’ katanya dalam satu kenyataan bagi mengumumkan perkenan Al-Sultan Abdullah melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Ke-9.
Ahli Parlimen Bera itu mendapat sokongan 114 ahli Parlimen bagi membolehkan beliau menggantikan Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatan pada 16 Ogos lalu.
Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka menzahirkan pandangan dengan pelantikan Perdana Menteri ini, maka kerajaan perlu meneruskan usaha-usaha memerangi pandemik COVID-19 dengan segera demi kemaslahatan dan keselamatan rakyat serta kesejahteraan negara yang amat terkesan akibat krisis dan ancaman pandemik ini.
‘’Seri Paduka Baginda turut menzahirkan setinggi penghargaan atas sokongan berterusan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dalam menyempurnakan tanggungjawab Baginda selaku Raja Berperlembagaan yang berteraskan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Kedaulatan Undang-undang,’’ katanya.
Beliau berkata, Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu turut menyokong pendirian Seri Paduka kepada pembentukan kerajaan yang stabil dengan secepat mungkin berikutan peletakan jawatan Perdana Menteri dengan melakukan penelitian dan pemerhatian yang lebih mendalam menerusi surat akuan dan pengesahan melalui sesi menghadap secara fizikal dan maya dengan setiap Ahli Dewan Rakyat.
‘’Seri Paduka Baginda turut menyeru seluruh rakyat agar terus bertenang dan bersama baginda mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah Subhana Watala, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak Covid-19,’’ katanya.
Leave a Reply