KETUA Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan, beliau tidak akan menerima sebarang jawatan dalam kerajaan baharu yang bakal dibentuk nanti.
Asyraf Wajdi menyatakan pendirian itu bagi menepis tuduhan para netizen kononnya beliau lantang bersuara kerana kemaruk jawatan.
Menurut beliau, jika dakwaan itu benar, sudah tentu tawaran mengetuai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diterimanya ketika zaman kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.
“Apakah saya akan menerima jika ditawarkan apa-apa jawatan dalam kerajaan yang baharu nanti?
“Jawapan saya tidak. Biarlah saya terus mengepalai Pergerakan Pemuda UMNO untuk menjadi suara semak dan imbang, juga jurubicara rakyat tanpa terikat dengan apa-apa yang boleh membataskan suara kami Pemuda.
“Lagipun kerajaan baharu kelak hanya untuk beberapa bulan yang berbaki sebelum tamat tempohnya bagi diserahkan kembali mandat mutlak kepada rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” katanya.
Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri era Barisan Nasional (BN) itu berkata demikian dalam ruangan komen hantaran Facebook miliknya.
Persoalan itu dibangkitkan oleh netizen selepas Asyraf Wajdi menyiarkan infografik bertajuk ’10 permintaan rakyat untuk tambah baik bantuan rakyat’.
Permintaan-permintaan yang dikemukakan adalah seperti berikut:
- Segerakan Bantuan Khas COVID (BKC), jangan tungggu bulan Ogos.
- Luluskan kedua-dua kategori penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) / BKC dan penerima Geran Khas Prihatin (GKP).
- Permudahkan proses rayuan tanpa perlu banyak dokumen pembuktian pengurangan pendapatan.
- Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) wajar ambil kira data terkini. Ramai dalam kalangan rakyat terutamanya M40 yang jatuh ke kategori B40 sejak awal tahun ini.
- Kerajaan wajar menambah suntikan fiskal dengan meningkatkan jumlah BKC terutamanya untuk M40.
- Tambah baik i-Citra dengan dibenarkan pengeluaran secara keseluruhan berbanding berkala setiap bulan.
- Benarkan akses kepada Akaun 1 KWSP dan permudahkan pengeluaran i-Citra.
- Benarkan akses kepada golongan T20 dan M40 mengeluarkan caruman pada kadar lebih tinggi bagi tujuan melangsaikan komitmen-komitmen seperti hutang.
- Selaraskan kaedah penawaran moratorium seperti yang dibuat oleh bank-bank dengan tidak mengenakan faedah terakru. Perluaskan kepada LPPSA dan agensi lain bawah seliaan kerajaan.
- Bantuan khas kecemasan untuk peniaga-peniaga kecil yang ramai mula terpaksa gulung tikar.
Leave a Reply