SEGALA debaran siapa Perdana Menteri Ke-19 dijangka berakhir hari ini. Apabila 114 ahli Parlimen yang mencalonkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi menduduki jawatan itu akan menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.
Majlis menghadap atau perjumpaan dengan Seri Paduka itu adalah sebagai proses pengesahan sebelum Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri baharu bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatan pada Isnin lalu.
Walaupun tiada pengumuman rasmi setakat ini namun berdasarkan kenyataan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ahli Parlimen Pasir Mas daripada Pas, Ahmad Fadhil Shaari hanya ‘pasukan’ yang menang sahaja dipanggil menghadap.
Sememangnya dari segi jumlah 114 yang diterima oleh Ismail Sabri, ia sekaligus mengesahkan impian Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri ‘terkubur lagi’.
Tidak perlulah lagi kita berbicara soal berapa sokongan yang diterima oleh Presiden PKR itu kerana yang pasti berapa pun beliau dapat ia bukan angka ‘yang kukuh dan meyakinkan’.
Pada awal ‘pertarungan’ bermula, laluan Ismail Sabri dilihat ‘berduri’ kerana beliau bersama 22 lagi ahli Parlimen UMNO dianggap mengingkari keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang menarik sokongan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Justeru walaupun telah mendapat sokongan 100 ahli Parlimen namun ia belum mencukupi kerana bekas Timbalan Presiden UMNO itu memerlukan 11 lagi sokongan bagi membolehkan beliau memperolehi majoriti 111. Jumlah kerusi Dewan Rakyat ialah 222 bagaimanapun terdapat dua kekosongan berikutan kematian ahli parlimen Batu Sapi dan Ahli Parlimen Gerik.
Nasib Ismail Sabri terletak di tangan 15 lagi ahli Parlimen UMNO, walaupun ada yang cuba menjadi ‘batu api’ dengan tujuan sokongan tidak diberikan namun MT memutuskan untuk menyokong pencalonan beliau. Biarpun Tengku Razaleigh Hamzah dikatakan kekal tidak menyokong tetapi ia tidak menjejaskan apa-apa.
Selepas ini sebagai Perdana Menteri baharu seperti mana dititahkan oleh Seri Paduka perlu membawa usul percaya di Dewan Rakyat bagi mengabsahkan pelantikan beliau.
Walaupun ramai yang mula bimbang bahawa ia akan mencetuskan satu konflik atau kemelut politik kerana pembangkang mungkin akan mengambil kesempatan untuk menjatuhkan pula Ismail Sabri, namun senario kali ini berbeza.
Pertama, 114 ahli Parlimen sudah menyatakan dalam surat akuan serta disahkan di hadapan Yang di-Pertuan Agong bahawa mereka menyokong Ismail Sabri maknanya di sidang Parlimen nanti itulah pendirian mereka.
Jika mereka keputusan yang dibuat di Parlimen tidak sama dengan apa yang dinyatakan dalam surat akuan bersumpah, mereka boleh dianggap menipu Seri Paduka dan tidak layak sama sekali menjadi ahli Parlimen.
Bagaimanapun jika mereka kekal menyokong Ismail Sabri maka ia sekaligus akan menutup ruang kepada sebarang percubaan untuk menukar pemilihan beliau.
Kedua, ahli-ahli Parlimen kerajaan mahupun pembangkang pastinya sudah mendapat mesej yang jelas daripada Yang di- Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah dan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah melalui perjumpaan dengan ketua-ketua parti pada Selasa lalu.
Antara lain Seri Paduka bertitah;
*Rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan dan pada masa sama negara bergelut dengan isu kesihatan dan ekonomi pandemik Covid-19.
*Kesepakatan dan kejujuran ahli-ahli Dewan Rakyat sangat perlu bagi memastikan kemaslahatan dan keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
Turut ditegaskan oleh Seri Paduka dan Sultan Nazrin ialah semua kemelut dan kecelaruan politik telah memberi kesan negatif yang mendalam kepada ekonomi negara.
Selain itu baginda berdua turut menzahirkan pandangan ahli-ahli Dewan Rakyat dapat bersatu hati berusaha mewujudkan perpaduan dan penyatuan semua parti-parti politik dengan memberi fokus kepada isu-isu semasa dan menjernihkan kembali kekusutan yang telah berlaku dengan kadar segera.
Titah serta peringatan Seri Paduka dan Sultan Nazrin sudah jelas, justeru ahli-ahli Parlimen wajib mematuhi dan memastikan kemelut politik yang memualkan tidak berterusan. Rasa sudah bosan dan muak.
Di mana-mana sahaja terutama dalam media sosial, ahli-ahli politik menjadi sasaran kecaman dan kritikan kerana terus berpolitik ketika rakyat susah. Kalau mereka tidak berubah sikap,jangan terkejut jika dalam PRU-15 nanti majoriti rakyat tidak keluar mengundi.
Buat apa mereka mengundi memilih ahli Parlimen, kalau puak yang kononnya bergelar wakil rakyat hanya menyusahkan rakyat dan hanya memperalatkan nama rakyat untuk menghalalkan tindakan merebut kuasa politik termasuk menjatuhkan pemimpin negara.
Janganlah menunjukkan ‘kejahilan’ dalam politik sehingga menyusahkan rakyat, jadikanlah pelantikan Ismail Sabri sebagai ‘noktah’ kepada kemelut politik sebelum PRU-15 diadakan.
Kalau rasa parti kita hebat, kalau rasa kita layak Perdana Menteri, kalau kita rasa ada sokongan kuat dalam kalangan rakyat tunggu sahaja PRU-15, di situlah gelanggang sebenar.
Leave a Reply