Oleh Abu Ubaidillah Rahman
PEMANDU ambulans Kementerian Kesihatan yang maut dalam kemalangan Lebuh Raya Utara-Selatan, Johor Bahru semalam, berkelakuan aneh sebelum nahas tersebut.
Menurut anak saudara mangsa, Nur Shafika Ooyob, 33, Shamsul Shamshuri, 49, kerap menatap wajah isterinya, Roslina Abdullah, 43, sebelum terlibat dalam kemalangan tersebut.
Nur Shafika berkata, kelakuan pelik itu diceritakan Roslina kepadanya sejurus Shamsul menemui ajal dalam tragedi tersebut.
“Apabila isterinya menyedari perkara itu, dia mengalihkan pandangan ke arah lain. Setelah ditanya arwah hanya tersenyum dan menjawab tiada apa-apa,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini semalam.
Cerita Nur Shafika, mereka sekeluarga mengetahui kejadian yang menimpa arwah menerusi panggilan telefon sebelum bergegas ke HSA.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd. Wahid berkata, kemalangan tersebut berlaku semasa van ambulans berkenaan mengelak sebuah kereta yang membrek secara mengejut.
“Selepas itu ambulans tersebut merempuh belakang sebuah lori dipandu seorang lelaki berusia 30 tahun.
“Pemandu dan tiga penumpang dalam ambulans itu iaitu seorang pegawai farmasi dan dua jururawat dalam perjalanan dari Pusat Kesihatan Kluang ke Hospital Permai,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.
Akibat kemalangan itu katanya, pemandu dan penumpang hadapan tersepit manakala dua penumpang di belakang cedera.
Beliau berkata, Shamsul meninggal dunia di tempat kejadian manakala mangsa yang cedera dirawat di HSA.
Selain arwah, mangsa lain yang terlibat Rosnilam Satari, 48, Azlina Mohd. Rawi, 41 dan Amelia Pek Ying Hung, 26.
Leave a Reply