RATUSAN buah rumah di Teluk Kumbar, Balik Pulau dan Teluk Bahang, Pulau Pinang dinaiki air lebih melebihi paras lutut hari ini ekoran hujan lebat sejak tengah hari tadi.
Antara kampung yang terjejas dilanda banjir kilat itu ialah Kampung Sulup; Sungai Burung; Kampung Terang; Titi Teras, Taman Seri Indah dan Pulau Betong.
Malah, beberapa batang jalan di kawasan itu juga tidak boleh dilalui kenderaan ringan selepas ditenggelami air yang melimpah dari sungai berdekatan.
Bagaimanapun setakat pukul 7 malam ini, tiada mangsa dipindahkan ke lokasi selamat namun pihak berkuasa kini bersiap sedia mengambil langkah segera sekiranya keadaan menjadi lebih buruk.
Sementara itu seorang penduduk di Teluk Kumbar, Sulaiman Arshad, 50-an, berkata, dia sekeluarga sudah memindahkan perabot dan perkakasan elektrik ke tempat lebih tinggi untuk diselamatkan.
Katanya, dia bimbang sekiranya berlaku fenomena air laut pasang malam ini yang boleh menyebabkan keadaan banjir di kawasan perumahannya menjadi lebih buruk.
“Setakat ini air hanya naik setakat paras buku lali, tetapi kami masih perlu berwaspada kerana keadaan banjir boleh menjadi lebih buruk sebab hujan masih belum berhenti dan fenomena laut pasang boleh berlaku malam ini,” katanya.
Menurutnya, kejadian hari ini merupakan kali kedua rumahnya dinaiki air akibat hujan lebat selepas kali pertama pada bulan Mei lalu yang turut menyebabkan perabot dan perkakasan elektrik miliknya rosak.
Tambah Sulaiman, kejadian banjir juga kerap berlaku di kawasan itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini barangkali berpunca beberapa projek komersial yang sedang rancak dijalankan di sekitar Teluk Kumbar.
“Sebab itu penduduk berharap pihak berwajb dapat memantau situasi ini dan mencari penyelesaian seperti menaik taraf sistem pengairan sesuai dengan kepadatan penduduk.
“Ini kerana kami tidak mampu lagi berdepan dengan situasi seperti ini memandangkan setiap kali selepas hujan lebat dan banjir kilat, kami terpaksa menanggung kerugian yang besar,” katanya.
Leave a Reply