PENUBUHAN Majlis Gerakan Negara (Mageran) boleh dipertimbangkan sekiranya tiada seorang pun Ahli Parlimen yang beroleh sokongan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri yang baharu.
Presiden Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Raduan Che Rose berkata, langkah itu boleh diambil sekiranya Yang di-Pertuan Agong berkenan untuk menitahkan Proklamasi Darurat terlebih dahulu.
Menurut beliau, pada dasarnya, Yang di-Pertuan Agong akan melantik seorang Perdana Menteri baharu yang boleh mendapat sokongan majoriti dalam Parlimen seterusnya akan memimpin negara sehingga PRU-15 diadakan.
“Jika tidak terdapat seorang pun Ahli Parlimen yang mendapat sokongan majoriti dalam Parlimen untuk menjalankan tugas Perdana Menteri baharu, maka kami yakin bahawa Yang di-Pertuan Agong akan menggunakan kebijaksanaan baginda untuk mencari jalan keluar khususnya dalam persekitaran pandemik Covid-19 yang sedang memuncak, kedudukan ekonomi negara yang kritikal, nasib dan kehidupan rakyat yang ketidaktentuan serta PRU-15 yang tidak sesuai diadakan.
“Dalam keadaan itu, MPN amat yakin bahawa Yang di-Pertuan Agong bołeh menitahkan Proklamasi Darurat dan selanjutnya menubuhkan Mageran yang boleh dipengerusikan oleh tokoh kepimpinan negara yang diperkenankan oleh baginda,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Kenyataan tersebut adalah hasil penelitian dan perbincangan 15 profesor dari pelbagai latar belakang keilmuan semalam.
Raduan menambah, sebaik-baiknya tokoh itu merupakan individu yang mempunyai pengalaman pentadbiran yang luas, dihormati dan diterima semua pihak dan tidak kurang pentingnya tiada cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri melalui PRU-15 kelak.
Beliau memberitahu, langkah itu adalah sementara sehingga PRU-15 sesuai diadakan bagi penubuhan kerajaan yang demokratik berparlimen selanjutnya mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
“MPN yakin bahawa di bawah Proklamasi Darurat, pihak yang berkuasa boleh membuat beberapa ordinan yang penting bagi membolehkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merancang dan melaksanakan PRU-15 dengan prosedur operasi standard (SOP) yang bersesuaian dengan langkah mencegah penularan pandemik Covid-19.
“Jika SOP baharu ini dapat dirangka dan bersedia untuk dikuatkuasakan, maka Perdana Menteri interim atau Mageran yang ditubuhkan akan menjalankan tugasnya bagi tempoh yang terhad sehingga PRU-I5 dapat dijalankan,” jelasnya.
Raduan berkata, MPN turut berharap agar kerajaan yang akan dibentuk setelah PRU-15 kelak akan lebih kukuh, stabil dan berwibawa untuk meningkatkan tahap kehidupan masyarakat, membangun semula ekonomi negara, lebih berupaya untuk menangani segala cabaran selanjutnya benar-benar menjadikan negara sebagai sebuah negara maju dengan acuannya yang tersendiri.
Menurut beliau, MPN juga berpandangan dan menegaskan bahawa kepemimpinan kerajaan baharu yang dibentuk nanti, atau pun jika sekiranya Mageran terpaksa dilaksanakan, mesti mengusahakan untuk membina semula Permuafakatan Politik Nasional demi kestabilan politik jangka panjang negara.
“Permuafakatan Politik Nasional ini haruslah melibatkan semua kelompok utama masyarakat dan pemegang taruh dalam negara termasuklah kepentingan masyarakat di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Raduan berkata, perkara ini amat penting diberikan perhatian kerana Malaysia memerlukan satu konsensus nasional dicapai demi membangunkan semula satu ‘consociational democracy’ yang mantap sekali gus dapat melahirkan satu pakatan besar kebangsaan yang mewakili semua kepentingan dan kelompok-kelompok utama dalam negara.
“Hal ini penting bagi menangani semua unsur-unsur yang boleh mengganggu-gugat kestabilan politik nasional. Inilah teras bagi kestabilan politik jangka panjang bagi Malaysia yang masyarakatnya yang berbilang etnik dan kepentingan serta dalam rangka memupuk kesepaduan nasional yang lebih kukuh,” jelasnya.
Leave a Reply