Oleh Abu Ubaidillah Rahman
TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau akan tetap mengambil berat masalah rakyat walaupun tidak lagi menjadi Perdana Menteri.
Ahl Parlimen Pagoh itu berkata, slogan ‘Kerajaan Prihatin’ akan terus berada dalam jiwa beliau serta rakan-rakan yang sehaluan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang memerintah sebelum ini.
“Hakikatnya, saya bukan lagi Perdana Menteri, tapi saya akan turun ke bawah tengok…supaya nasib mereka (rakyat) terbela sebab saya faham semasa menjadi perdana menteri ada data menunjukkan rakyat miskin bertambah dan ini amat mencabar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada editor-editor kanan setelah mengumumkan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri semalam.
Muhyiddin sedar ramai yang meminta ‘Abah’ iaitu gelaran diberikan rakyat kepadanya supaya kekal sebagai Perdana Menteri dan pekara itu amat menyentuh hatinya namun perkara tersebut tidak dapat dielakkan.
Katanya, beliau berharap dapat berbuat demikian tetapi di bawah demokrasi berparlimen lantikan seperti jawatan Perdana Menteri bersandarkan peruntukan dalam Perlembagaan.
Sebagai rakyat yang diberikan amanah, Muhyiddin berkata, beliau melakukan semua ini mengikut yang terkandung dalam Perlembagaan iaitu apabila tidak lagi mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat maka wajib baginya meletakkan jawatan.
Beliau menjelaskan tindakan itu diambil disebabkan penarikan sokongan Ahli Parlimen terutamanya daripada parti UMNO terhadap beliau.
“Siapakah mereka itu…bukan saya nak menidakkan mereka sebagai ahli Parlimen, tapi soal politik jika mereka fikir nasib rakyat ketika ini ramai terkesan dan jadi miskin, bukan masa berpolitik tapi tumpuan untuk selamatkan nyawa. Bantu rakyat, jangan berpolitik kita dah muak. Kalaulah mereka mengambil kira perkara itu mereka tidak akan bertindak seperti ini,” katanya.
Ditanya adakah beliau rasa telah dikhianati, Muhyiddin berkata, apa yang berlaku sehingga beliau terpaksa melepaskan jawatan Perdana Menteri bukanlah pengkhianatan terhadapnya tetapi kepada negara dan rakyat yang sedang menderita.
“Fikir-fikirkanlah, jika mereka ada perasaan mereka tidak akan raikan pasal tumbangkan saya sedangkan kita sedang berusaha melaksanakan
amal ibadah, buat sesuatu menyabung nyawa, jaga dan pelihara nyawa dan kehidupan, adakah itu tidak mulia.
“Ada petanda saya fikir dilakukan pihak tertentu untuk tujuan tertentu, saya tak nak buat kenyataan yang boleh diheret ke mahkamah. Ini fakta politik saya akui mungkin bawa kesan begitu rupa, mungkin cita-cita mereka berhasil, tapi tidak mengapa kita terima perkara (yang telah) ditakdirkan,” katanya.
Menurutnya, jika dinilai prestasi PN, gabungan itu tidak gagal tetapi kerajaan beliau telah melakanakan tugas dangan baik dan ramai mengakuinya berdasarkan kepada usaha yang telah dilakukannya dalam memerangi pandemik Covid-19.
“Saya rasa kerajaan saya telah membuat yang terbaik…orang kata kita telah melakukannya, menguruskan Covid-19 bukannya mudah. Saya fikir kita telah menyelamatkan jutaan nyawa, beberapa ribu orang telah meninggal dunia, selalu orang melihat perkara ini tetapi sekarang rakyat telah menyedari bahawa kita telah menyelamatkan berjuta-juta nyawa, kami telah melakukan sehabis baik,” katanya.
Muhyiddin lega kerana telah melakukan apa yang sepatutnya dalam melaksanakan usaha membantu rakyat berhadapan dengan pandemik.
“Sudah tentu ada yang bertanya apa perasaan saya, sama ada saya sedih. Saya fikir saya boleh melakukan lebih banyak lagi jika masih menjadi Perdana Menteri, saya ingin selesaikan semua perkara sehingga penghujungnya untuk melihat apa yang kita mulakan, dapat diselesaikan sepenuhnya walaupun dengan penat lelah, keletihan atau penuh berhati-hati, pasukan saya dan penjawat awam telah bekerja keras,” katanya.
Muhyiddin berharap dengan ketiadaan beliau dan barisan Kabinet, pegawai kerajaan yang ada dapat terus menjalankan tugas membantu rakyat memerangi Covid-19 yang kini sudah menampakkan kelegaan dalam penularan pandemik itu.
“Saya sudah berjumpa dengan pegawai atasan penjawat awam, tentera, polis, Peguam Negara dan membincangkan perkara setelah saya bukan lagi Perdana Menteri. Mereka berjanji akan terus membantu sehingga selesai kes Covid-19. Saya berharap ia terus menjadi tumpuan dan jangan sesekali diabaikan.
“Saya rasa tanggungjawab bila baca mengenai kematian, bunuh diri. Pada akhirnya saya rasa bertanggungjawab dan saya tidak suka perkara seperti itu diletakkan di atas bahu saya, tetapi sebagai Perdana Menteri saya perlu menanggungnya,” katanya.
Beliau berharap kerajaan baharu akan meneruskan proses pemulihan terutamanya pelan pemulihan yang ada walaupun ia akan mengambil masa agak lama.
Muhyiddin turut menitipkan nasihat agar kerajaan baharu terus memberi perhatian kepada kebajikan rakyat kerana masalah Covid-19 masih belum selesai.
‘Saya minta semua bertenang, sistem yang kita bina dalam negara terjamin, jaga hubungan baik dan usaha bantu rakyat…peruntukan kerajaan dalam bajet mesti dibelanjakan, rakyat jangan rasa terbiar, harap pimpinan kerajaan baharu tidak akan mengabaikan mereka, yang penting usaha yang dibuat diteruskan dan langkah lain harus dilakukan,” katanya.
Beliau berdoa dan mengharapkan agar Malaysia dapat bangkit semula dengan pertumbuhan yang pantas agar rakyat dapat hidup seperti biasa.
Leave a Reply