Maqis Kedah gagalkan cubaan bawa masuk 25,008 kg ayam sejuk beku dari Thailand

Oleh Rizqi Zabidi

JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kedah menggagalkan cubaan membawa masuk keratan ayam sejuk beku dari Thailand seberat lebih 25,000 kilogram (kg) ke negara ini, baru-baru ini.

Jabatan itu dalam satu kenyataan memaklumkan, kejayaan membuat rampasan tersebut adalah hasil pemeriksaan rutin dilakukan terhadap sebuah lori kontena di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) pada Jumaat lalu.

“Pemeriksaan dijalankan kira-kira pukul 4 petang itu menemukan 2,084 kotak keratan ayam sejuk beku seberat 25,008 kg yang bernilai RM250,000, disusun dalam kontena tersebut.

“Kesemua barangan itu dirampas untuk tindakan lanjut kerana maklumat dikemukakan tidak tepat selain dokumen dilampirkan juga didapati mengelirukan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, kegagalan mengemukakan maklumat mengelirukan atau tidak tepat merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

“Jika sabit kesalahan, mereka yang terlibat boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara untuk tempoh tidak lebih dua tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Menurutnya, Maqis sentiasa komited melakukan penguatkuasaan dan pemeriksaan di semua pintu masuk negara bagi menjamin barangan pertanian yang diimport dan dieksport, mematuhi syarat serta peraturan ditetapkan.

“Langkah itu bagi mengawal penularan penyakit dalam kalangan haiwan serta tumbuhan, selain menjamin keselamatan makanan negara,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *