Oleh Abu Ubaidillah Rahman

ORANG ramai diingatkan supaya melupuskan sisa alatan Kit Ujian Kendiri Covid-19 yang sudah digunakan di rumah secara berhemah bagi mengelakkan sebarang risiko jangkitan wabak itu.

SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) dalam satu kenyataan memberitahu, selain itu, mereka juga diingatkan untuk melupuskan topeng pelitup muka dengan selamat.

Menurutnya, langkah itu perlu bagi mengelak sebarang risiko jangkitan wabak kepada pekerja ketika melaksanakan kerja-kerja perkhidmatan pengurusan sisa pepejal. 

“Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) telah memberi perakuan dan kelulusan bersyarat untuk penggunaan alatan Kit Ujian Kendiri Covid-19 bagi memudahkan pelaksanaan saringan awal oleh orang ramai.

“Berdasarkan kepada situasi penularan semasa dan kemunculan varian wabak Covid-19 yang baharu, SWM Environment meminta orang ramai melupuskan sisa alatan kit ujian kendiri tersebut secara selamat.

“Antara kaedah terbaik adalah dengan menyembur cecair nyahjangkitan sebelum dimasukkan ke dalam bungkusan dan seterusnya dibuang ke dalam tong sampah beroda (TSB),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah kenyataan itu lagi, orang awam juga diingatkan untuk turut melupuskan topeng pelitup muka secara berhemah dan selamat dengan membuangnya ke dalam tong sampah.

“Pembuangan sisa pelitup muka merata-rata boleh mendedahkan risiko jangkitan kepada pekerja pembersihan SWM Environment dan orang ramai serta menjejaskan kebersihan setempat,” tambah kenyataan tersebut.

Sementara itu, SWM Environment melalui Kempen Jom Kerja Selamat akan terus memberi kesedaran kepada pekerjanya tentang pengendalian sisa berkaitan Covid-19 seperti sisa alatan kit ujian kendiri dan sisa pelitup muka yang dibuang ke dalam tong sampah beroda.

“Selain itu mereka juga dipastikan sentiasa dilengkapi kelengkapan perlindungan diri (PPE) ketika bertugas dan membersihkan diri serta melaksanakan proses nyahjangkitan kenderaan selepas selesai tugasan di lapangan,” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here