KPDNHEP Kubang Pasu rampas minyak diesel, petrol dari stor haram

RIZQI ZABIDI

Sebanyak 17,000 liter diesel dan petrol dirampas dari sebuah stor haram di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam, hasil serbuan sepasukan pegawai dan anggota penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kubang Pasu, Kedah, hari ini.

K. Muniandy

Ketua pegawai penguatkuasanya, K. Muniandy berkata, risikan dijalankan mendapati lokasi itu menjadi tumpuan lori-lori kargo dari Thailand untuk mengisi minyak, sebelum pulang ke negara mereka.

Katanya, dalam serbuan itu, pihaknya turut menahan seorang ‘penjaga’ kawasan tersebut yang merupakan warga tempatan berusia 57 tahun.

“Kita percaya stor haram ini baru beroperasi sejak tiga minggu lepas. Siasatan mendapati mereka tidak mempunyai lesen untuk menyimpan barangan kawalan ini.

“Barangan yang dirampas terdiri daripada 15,000 liter diesel, 2,000 liter petrol serta sebuah pam. Kesemua barangan yang dirampas dianggarkan bernilai RM40,000,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Muniandy menambah, lokasi itu agak strategik kerana kedudukannya yang terselindung selain dikelilingi kebun sayur.

“Individu yang ditahan itu mendakwa, mereka baru hendak memohon lesen bagi menjalankan perniagaan ini.

“Difahamkan bekalan minyak yang dirampas itu diperolehi dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan individu perseorangan yang disabitkan dengan kesalahan, boleh didenda hingga RM1 juta atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Untuk kesalahan dilakukan syarikat pula, mereka boleh didenda hingga RM2 juta untuk kesalahan pertama dan RM5 juta untuk kesalahan kedua,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *