Ahli Parlimen

Jika Ahli Parlimen salah pilih, rakyat pasti merana

SELEPAS pukul 4 petang esok, Istana Negara tidak akan menerima lagi surat akuan daripada Ahli-ahli Parlimen berhubung calon pilihan mereka untuk menyandang jawatan Perdana Menteri kesembilan.

Sementara menunggu waktu itu tiba, berlaku banyak drama melibatkan tokoh-tokoh politik yang mengidamkan jawatan nombor satu dalam pentadbiran negara.

Rundingan dan tawar-menawar sedang rancak berlaku bagi memancing sokongan Ahli-ahli Parlimen, seolah-olah keperitan hidup rakyat dalam situasi pandemik COVID-19 kini menjadi soal nombor dua.

Sudah tentu rakyat menanti-nanti siapakah Perdana Menteri yang bakal dilantik untuk meneruskan usaha memulihkan kemelut politik dan ekonomi serta membawa negara keluar dari krisis kesihatan yang berlaku akibat COVID-19.

Mereka tidak mahu igauan ngeri selama 22 bulan di bawah cengkaman rejim Pakatan Harapan (PH) kembali berulang.

Terbukti PH gagal menguruskan negara dengan baik selepas diberi mandat oleh pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Malah, rejim PH yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad gagal mengambil langkah konkrit seperti menutup pintu sempadan ketika COVID-19 mula dikesan di beberapa negara.

Pertumbuhan ekonomi negara terencat di bawah rejim PH. Minyak sawit yang menjadi komoditi terpenting negara berdepan sekatan daripada beberapa negara termasuk Kesatuan Eropah (EU) dan India.

Melihat kepada prestasi buruk rejim PH, mana-mana pemimpin mereka termasuk Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak layak diberi kepercayaan untuk menjadi Perdana Menteri.

Dalam situasi pandemik yang masih belum reda, Malaysia memerlukan seorang Perdana Menteri yang berpengalaman luas dalam usaha memerangi COVID-19.

Kita tidak mahu pemimpin yang hanya pandai mengucapkan retorik sedangkan hasil kerjanya tidak ke mana.

Tiada masa untuk bereksperimen kerana dalam keadaan yang getir ini, nyawa dan masa depan rakyat menjadi taruhan.

Oleh sebab itu, sesiapa sahaja Ahli Parlimen yang bakal dicalonkan perlu bebas daripada sebarang skandal peribadi dan kes mahkamah yang boleh menjejaskan tumpuan untuk memulihkan negara.

Jika Ahli-ahli Parlimen tersilap membuat pilihan, rakyat dan negara bakal menanggung kesan yang amat buruk.

Semua Ahli Parlimen seharusnya insaf bahawa rakyat semakin bijak menilai dan tidak mudah diperkotak-katikkan dengan janji-janji palsu.

Para pengundi juga telah membuktikan kuasa mereka pada PRU-14 yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) tumbang walaupun sebelum itu ia kelihatan gah sebagai gergasi politik.

Maka, pilihlah calon Perdana Menteri yang benar-benar ikhlas dan jujur berkhidmat untuk rakyat serta terbukti mampu menjalankan tugas dengan berkesan semasa krisis pandemik.

Beri keutamaan terhadap kebajikan dan masa depan rakyat yang diwakili. Jangan biarkan diri tergoda dengan janji-janji manis tetapi palsu daripada orang yang kemaruk kuasa.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *