SEBANYAK 25 kes melibatkan sindiket pemerasan menggunakan taktik panggilan video lucah dan langganan perkhidmatan seks melalui platform media sosial dilaporkan di daerah Timur Laut, Pulau Pinang antara 1 Januari lalu hingga semalam.
Kesemua kes itu melibatkan mangsa lelaki berumur antara 17 hingga 50 tahun dengan nilai kerugian sebanyak RM150,000.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, modus operandi sindiket itu adalah dengan menawarkan langganan seks dan membuat panggilan video lucah selepas berkenalan menerusi medium media sosial seperti Facebook, Wechat, Michat, Line, Tinder dan banyak lagi.
Jelasnya, bagi kes yang menawarkan langganan seks, suspek akan meminta mangsa membuat bayaran tertentu sebagai wang deposit dan akan terus meminta bayaran tambahan.
Katanya, jika mangsa enggan suspek akan mengugut dengan menghantar gambar atau video orang yang dicederakan kononnya mereka akan melakukan perkara yang sama kepada mangsa.
“Selain itu, suspek juga akan memuat turun gambar mangsa yang terdapat di media sosial dan mengugut mangsa untuk menyebarkan gambar dengan ‘caption’ jelik serta boleh menjatuhkan maruah mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagi kes panggilan video lucah pula, ujar Soffian, suspek akan membuat panggilan video menggunakan wanita yang beraksi lucah serta meminta mangsa berbogel.
Katanya, pnggilan video itu akan dirakam oleh suspek dan kemudiannya akan mengugut mangsa untuk membuat sejumlah bayaran sekiranya tidak mahu video tersebut disebarkan kepada kenalan mangsa atau ditularkan di media sosial.
“Suspek akan terus cuba menghubungi mangsa menggunakan nombor telefon tempatan atau luar negara serta akan menggunakan lebih daripada satu nombor telefon bagi mengugut dan menakutkan mangsa,” katanya.
Tambah beliau, sindiket itu turut menggunakan beberapa cara pembayaran antaranya melalui pembelian Razer Gold, pemindahan wang dalam talian dan Pay Pal.
Katanya, kesemua kes yang dilaporkan disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan iaitu pemerasan, Seksyen 385 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan ketakutan bagi tujuan melakukan pemerasan dan Seksyen 233 Akta Kesalahan Multimedia dan Komunikasi 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
“Sehubungan itu, kita menasihatkan orang ramai agar lebih berhati dalam menggunakan apa-apa jua aplikasi atas talian dan jangan sesekali terpedaya dengan tawaran perkhidmatan seks serta langganan urut atas talian.
“Orang ramai juga dinasihatkan tidak berkelakuan lucah semasa membuat panggilan video dengan mana-mana individu yang baru dikenali bagi mengelakkan dari menjadi mangsa sindiket ini,” katanya.
Leave a Reply