Oleh Abu Ubaidillah Rahman
KETUA Wanita Perikatan Nasional (PN) Selangor, Dr. Daroyah Alwi membidas tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan di sebalik kemelut politik ketika negara sedang bergelut melawan penularan Covid-19.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa itu berkata, masalah kesihatan dan kesejahteraan rakyat serta pemulihan ekonomi negara perlu diselesaikan terlebih dahulu berbanding menangani ketidakstabilan politik.
Beliau berkata, sebarang keputusan menukar pentadbiran negara secara tergesa-gesa bakal memberi implikasi buruk.
“Nafas yang baharu mula dihela oleh barisan hadapan negara apabila usaha mereka selama ini semakin memperlihatkan hasilnya, kini sesak kembali dek kerana politikus yang gilakan kuasa.
“Senyuman yang mula terukir setelah Pelan Pemulihan Negara (PPN) diperkenalkan rupanya tidak lama, rakyat dipaksa untuk menunggu pula pelan baharu yang akan diperkenalkan oleh pentadbiran akan datang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Dr. Daroyah berkata, kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu dikekalkan demi memulihkan negara mengikut perancangan asal PPN.
“Tempoh panjang diperlukan bagi penentuan sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen untuk menamakan siapa perdana menteri dan pembentukan jemaah kabinet yang baharu.
“Berapa ramai lagi rakyat yang perlu dikorbankan angkara penularan Covid-19 sepanjang tempoh itu,” soalnya.
Leave a Reply