Tuan Ibrahim minta semua pihak bertenang situasi politik terkini

Oleh Abu Ubaidillah Rahman

TIMBALAN Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menasihatkan ahli parti itu supaya bertenang dan terus berdoa agar kemelut politik negara dapat diselesaikan segera.

Beliau yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berkata, ahli Pas perlu hadapi suasana ketika ini dengan fikiran lapang dan yakin apa yang Allah aturkan adalah yang terbaik.

“Apa yang diperlukan ketika ini adalah keyakinan bahawa setiap yang berlaku sudah diaturkan Allah SWT.

“Dalam hidup kita, kita tak tahu apa yang Allah susun untuk kita dan kita yakin bahawa itu yang terbaik,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook miliknya, hari ini.

Katanya, apa yang berlaku sudah pun ditetapkan Allah namun dirahsiakan kerana manusia perlu berusaha dan akan diberi ganjaran pahala.

Menurutnya, apa yang penting ialah mengekalkan kedamaian serta tidak menimbulkan suasana gawat dalam kalangan masyarakat.

“Saya dengan kawan-kawan dalam Pas serta ahli Kabinet lain akan uruskan dengan baik situasi ini supaya keadaan negara kita dapat kestabilan dapat dikekalkan.

“Insya-Allah saya penuh yakin dan percaya pimpinan kita sedang melakukan yang terbaik, apa yang kita mampu, kita cuba buat, doakan bersama,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *