‘’Saya tak akan korban prinsip untuk kekal jawatan’’ – Muhyiddin

TAN Sri Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri menegaskan, beliau sama sekali tidak akan mengorbankan prinsip semata-mata untuk mengekalkan jawatannya.

Perdana Menteri berkata, enam tahun lalu, beliau dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri semata-mata kerana mempertahankan prinsip untuk tidak berkompromi dalam kes penyelewengan 1MDB.

‘Saya berjuang, saya berkorban, akhirnya Allah SWT mengangkat martabat perjuangan saya sehingga saya diberikan amanah untuk memimpin negara ini sebagai Perdana Menteri. Namun, telah ditakdirkan bahawa hari ini adalah hari terakhir saya sebagai Perdana Menteri dan saya redha dengan ketentuan Ilahi,’’ katanya dalam perutusan khas hari ini.

Sebelum itu Muhyiddin telah menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Beliau seterusnya berkata, sesungguhnya jawatan yang dipikul  bukanlah suatu kemegahan dan datang dengan suatu bebanan tanggungjawab  berat.

‘’Saya memimpin negara dalam keadaan krisis kesihatan dan ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Pada masa yang sama saya terus digugat dari segi politik. Saya boleh mengambil jalan mudah dengan mengorbankan prinsip saya untuk kekal sebagai Perdana Menteri. Tetapi itu bukan pilihan saya.

”Saya tidak akan sekali-kali bersekongkol dengan kumpulan kleptokrat, mengganggu kebebasan badan kehakiman dan membelakangi Perlembagaan Persekutuan semata-mata untuk kekal berkuasa,’’ tegasnya.

Muhyiddin berkata, dalam sesi  menghadap tersebut beliau menyerahkan warkah peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri dan seluruh Jemaah Menteri di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan disebabkan kehilangan kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat. ‘’Ini bermakna saya dan seluruh ahli Jemaah Menteri telah meletakkan jawatan,’’ katanya.

Beliau berkata, walaupun pada awalnya mencadangkan supaya keabsahan sebagai Perdana Menteri ditentukan di Parlimen namun 15 Ahli Parlimen UMNO telah menarik sokongan.

 ‘’Dan cadangan kerjasama rentas parti yang saya kemukakan telah ditolak oleh parti-parti pembangkang. Jelaslah saya telah kehilangan sokongan majoriti. Jadi, tidak perlulah lagi keabsahan saya sebagai Perdana Menteri ditentukan di Parlimen,’’ katanya.

Muhyiddin berkata, Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan menyebut “jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri”. Inilah kehendak dalam Perlembagaan dan beliau mesti patuh.

‘’Rayuan ikhlas daripada jutaan rakyat Malaysia agar saya meneruskan tugas saya dan tidak meletakkan jawatan saya dengari. Namun, rayuan ini tidak dapat saya sambut kerana saya telah kehilangan kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

‘’Tindakan saya ini adalah selaras dengan sumpah jawatan saya untuk sentiasa menjunjung, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan,’’ katanya.

Perdana Menteri berkata, beliau telah melakukan pelbagai ikhtiar hingga ke saat akhir untuk menyelamatkan Kerajaan Perikatan Nasional setidaknya sehingga selesai tugas menguruskan pandemik, program vaksinasi dan pemulihan ekonomi.

‘’Tetapi ikhtiar ini tidak berhasil disebabkan ada pihak yang rakus untuk merebut kuasa daripada mengutamakan nyawa dan kehidupan rakyat. Bagi saya, apa yang berlaku ini adalah ketentuan Allah SWT yang merupakan satu episod dalam sejarah perjuangan politik saya,’’ katanya.

Muhyiddin berharap kerajaan baharu dapat dibentuk dengan segera supaya pentadbiran negara ini tidak terganggu dan dapat berjalan seperti biasa.

‘’Tempoh dua bulan ke hadapan ini adalah amat penting kerana kita dijangka mencapai imuniti kelompok pada bulan Oktober. Segala perancangan yang telah digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara tidak boleh terbantut.

‘’Sektor-sektor ekonomi perlu dibuka semula untuk memastikan ekonomi negara dapat pulih dengan segera dan rakyat dapat menjana pendapatan untuk menyara diri dan keluarga,’’ katanya.

Justeru beliau berkata,  momentum pelaksanaan program vaksinasi tidak boleh terganggu. ‘’Rekod kita mencatatkan jumlah vaksinasi harian antara yang tertinggi di dunia mesti dikekalkan.

‘’Jangan bimbang, Kabinet saya telah menempah lebih 87 juta dos vaksin untuk penduduk negara ini yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM4.36 bilion ringgit. Jumlah ini adalah lebih daripada mencukupi untuk saudara dan saudari sekalian,’’ katanya.

Beliau optimis bahawa negara akan dapat keluar daripada krisis pandemik ini dalam masa terdekat.

‘’Saya teruja melihat perkembangan positif beberapa hospital di Lembah Kelang di mana jumlah kemasukan pesakit Covid-19 kategori empat dan lima semakin berkurangan. Mudah-mudahan, dengan program vaksinasi yang semakin meningkat, lebih banyak nyawa dapat diselamatkan dan saudara-saudari dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa,’’ katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *