Mayat warga emas ditemukan di hadapan pintu bilik air

Oleh Abu Ubaidillah Rahman

SATU mayat wanita warga emas ditemukan di sebuah rumah berkunci di Garden Homes Seremban 2, Seremban hari ini.

Penemuan mayat tersebut selepas bau busuk dihidu jiran tetangga sejak semalam sebelum menghubungi pihak bomba.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Sembilan, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pasukannya menerima panggilan kecemasan berhubung penghuni rumah terkunci dalam kediaman pada pukul 10.11 pagi tadi.

“Sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban 2, kemudian bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, kami menggunakan peralatan khas bagi membuka pintu rumah mangsa sebelum menemui wanita berkenaan dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri di hadapan pintu bilik air,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat jiran, mangsa yang berusia dalam lingkungan 60-an dikatakan tinggal bersendirian dan kali terakhir dilihat pada Jumaat lalu.

“Jiran yang bimbang dengan keadaan mangsa menghubungi bomba untuk meminta bantuan kerana pintu rumahnya terkunci,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memaklumkan sehingga kini kes masih diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *