Berjudi sabung ayam, tiga PATI diberkas

Oleh Rahimi Mohamad

TIDAK cukup melanggar kedaulatan Malaysia kerana berada di negara ini tanpa dokumen yang sah, tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) terus mencabar undang-undang apabila ditangkap bersama-sama 16 ekor ayam yang dipercayai digunakan untuk berjudi sabung ayam.

Warganegara asing dipercayai dari Indonesia berusia 25 hingga 59 tahun itu dicekup polis di sebuah pondok kayu dalam serbuan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi di Felda Bukit Waha, Kota Tinggi semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora, polis telah merampas 13 ekor ayam kampung, tiga ekor ayam laga, wang tunai berjumlah RM488 dan barang-barang yang digunakan sebagai persediaan laga ayam.

“Kesemua suspek yang tidak mempunyai dokumen perjalanan diri direman selama 14 hari sehingga 28 Ogos untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum denda sehingga RM5,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Tambah Hussin, kes juga disiasat di bawah Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya dan boleh dikenakan sebatan tidak lebih daripada enam sebatan, jika sabit kesalahan.

“Polis khususnya IPD Kota Tinggi akan mempertingkatkan operasi dan pemantauan aktiviti perjudian di kawasan daerah ini dan meminta masyarakat untuk memberi maklumat sekiranya mengesan aktiviti perjudian di kawasan setempat mahupun premis-premis dijadikan pusat perjudian.

“Kerjasama ini diharap dapat membanteras aktiviti perjudian yang berlaku dalam daerah Kota Tinggi dan pihak polis dapat mengambil tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas dan pantas,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *