3.8 juta kes Covid-19 di Indonesia, kini paling teruk di Asia Tenggara

Susunan Abu Ubaidillah Rahman

INDONESIA menjadi negara di Asia Tenggara paling teruk mencatatkan kes Covid-19 yang kini keseluruhan berjumlah 3,854,354 jangkitan.

Kementerian Kesihatan Indonesia melaporkan, jangkitan harian Covid-19 di negara itu meningkat kepada 20,813 kes.

Kadar kematian akibat coronavirus pula meningkat sehingga 1,222 kes, mencapai jumlah kumulatif 117,588 mangsa terkorban setakat ini.

Selain itu, dalam tempoh 24 jam, kementerian itu turut melaporkan bahawa 30,361 pesakit sembuh, menjadikan keseluruhan 351,959 orang dibenarkan keluar hospital.

“Indonesia ketika ini melaksanakan perintah sekatan Pemberlakuan Pembatasan Kegiatan Masyarakat (PPKM) secara berperingkat-peringkat dalam usaha mengurang jangkitan harian Covid-19 selain memperhebatkan pengesanan kontak rapat,” jelas kementerian itu.

Menurut kementerian itu lagi, sekurang-kurangnya 28.11 juta penduduk negara itu sudah menerima dua suntikan vaksin dan mereka yang disuntik satu dos pula mencecah 53.68 juta orang.

“Meskipun kes meningkat mendadak secara ketara, ibu negara Indonesia membuka pasar raya pada minggu ini, namun hanya kepada mereka yang sudah divaksin.

“Sekatan masih dikuat kuasa di kebanyakan lokasi di Indonesia dan pasar raya Jakarta dibuka dengan kebenaran 25 peratus operasi bagi memastikan ekonomi terus berjalan,” tambah kenyataan itu.

Namun, pengunjung perlu buktikan mereka sudah menerima sekurang-kurangnya satu suntikan menerusi aplikasi telefon pintar.

Program inokulasi di negara itu menunjukkan seorang daripada lima penduduk Indonesia sudah disuntik dalam program besar-besar yang diadakan sejak Januari lalu. – AGENSI


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *