PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak harus berundur dan meletak jawatan walaupun menerima tekanan pelbagai pihak ketika ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Datuk Mohd. Izhar Ahmad berkata, Ahli Parlimen Pagoh itu tidak seharusnya tunduk sebaliknya terus mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Izhar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri berkata, kerajaan PN perlu dikekalkan termasuk menerusi tawaran yang diberikan dalam perutusan Perdana Menteri kelmarin.
“Jangan letak jawatan Perdana Menteri, teruskan usaha tidak kira dengan siapa kita bekerjasama, kami tetap di belakang menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Perdana Menteri sudah berusaha yang terbaik, pelbagai kompromi telah diusahakan. Jelas apa yang mereka mahukan adalah kuasa. Belum tentu mereka mampu lakukan. dan tiada siapa yang ada majoriti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kelmarin, Muhyiddin menawarkan kerjasama rentas parti antara kerajaan PN dengan parti di luar kerajaan sekiranya usul undi percaya terhadapnya diluluskan di Dewan Rakyat pada 7 September depan.
Menurut Muhyiddin, cadangan itu dibuat bagi membolehkan kerajaan terus berfungsi ketika pandemik Covid-19 dengan sokongan bipartisan di Parlimen serta mengelakkan kumpulan kleptokrat memerintah jika kemelut politik berterusan dan tidak diselesaikan segera.
Mengulas lanjut, Izhar berkata, Perdana Menteri juga tiada keperluan untuk meletak jawatan kerana ketika ini tiada pemimpin yang mempunyai sokongan majoriti dan hanya Muhyiddin memiliki sokongan tertinggi.
“Kita sayangkan negara, jika lepas kepad mereka semua usaha akan menjadi musnah, berebut kuasa dalam masa rakyat menderita dan negara dalam bahaya, ini adalah pengkhianatan kepada rakyat dan negara,” katanya.
Leave a Reply