Dewan Rakyat

PN ada majoriti kekal kerajaan, sokongan ahli Parlimen UMNO bertambah?

*Ismail Sabri, Hamzah Zainuddin disebut-sebut calon PM,TPM

WALAUPUN Tan Sri Muhyiddin Yassin dikhabarkan akan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri esok namun sokongan parti-parti yang membentuk Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tetap utuh dan dikatakan bertambah kepada 110 kerusi Parlimen.

Biarpun setakat ini ia kurang satu kerusi untuk mendapat majoriti namun sumber memberitahu, jumlah tersebut akan bertambah dalam ‘waktu terdekat’.

Lapor UtusanTV , dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) hari ini antara cadangan yang dikemukakan ialah mencalonkan Naib Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggantikan Muhyiddin manakala jawatan Timbalan Perdana Menteri disandang calon daripada Bersatu.

‘’Walaupun setakat ini ia di peringkat cadangan belum ‘final’ tetapi ia dilihat cadangan terbaik bagi membolehkan PN terus menjadi kerajaan,’’ kata sumber ketika dihubungi.

Mengenai tambahan 10 ahli Parlimen itu, sumber tersebut mendakwa, ia terdiri daripada kalangan ahli Parlimen UMNO yang sebelum ini ‘membuat keputusan menolak Muhyiddin tetapi menyokong PN’.

‘’Sebelum ini mereka memang menyokong PN tetapi tidak mahu Muhyiddin menjadi Perdana Menteri tetapi sekarang Muhyiddin akan berundur maka mereka bersedia kembali menyokong PN,’’ kata sumber berkenaan.

Sumber itu tersebut juga tidak menolak kemungkinan bahawa jumlah itu akan bertambah berikutan usaha sedang dilakukan bagi menarik lima lagi ahli Parlimen UMNO menyertai kesepakatan tersebut.

‘’Langkah ini bertujuan mengelakkan Pakatan Harapan diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi kerajaan,’’ kata sumber tersebut.

Bagaimanapun difahamkan selain Ismail Sabri, turut disebut-sebut menjadi calon Perdana Menteri  ialah Menteri Kanan Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

“Hishammuddin turut dilihat ada karisma selain prestasi yang beliau tunjukkan sebagai Menteri Luar serta mempunyai banyak pengalaman dalam kerajaan manakala Ku Li pula berpengalaman terutama dalam ekonomi tetapi faktor usia mungkin menjadi sedikit halangan, tetapi setakat ini nama Ismail Sabri diutamakan’’ kata satu sumber.

Ditanya mengenai kedudukan Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, sumber berkata, kedua-dua mereka berhadapan dengan kes mahkamah yang perlu diselesaikan.

‘’Tapi saya percaya mereka khususnya Najib berjiwa besar untuk menyokong rancangan ini daripada membiarkan PH kembali berkuasa,’’ katanya.

Mengenai jawatan Timbalan Perdana Menteri, sumber itu mendakwa, Bersatu mencalonkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin .

‘’Tetapi ada juga yang berpendapat Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed boleh dipertimbangkan kerana beliau boleh membantu Perdana Menteri dari segi pemulihan ekonomi.

‘’Selain mempunyai pengalaman, dari segi politik Mustapa dilihat boleh mendamaikan keadaan jika berlaku pertembungan antara Hamzah dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, beliau dianggap neutral dan tidak ada musuh dengan mana-mana parti,’’ katanya .

Bagaimanapun sumber itu menegaskan, apa yang penting ketika ini kesemua pemimpin-pemimpin perlu mencapai kesepakatan bagi memastikan PN kekal menjadi kerajaan.

‘’Ini bukan soal kepentingan politik mana-mana individu atau parti tetapi ini bagi memastikan segala program yang dilaksanakan oleh Muhyiddin dapat diteruskan khususnya  dalam memerangi penularan Covid-19. Usaha-usaha yang dibuat oleh beliau telah menampakkan hasil dan paling ketara dari segi program imunisasi.

‘’Oleh itu usaha beliau harus diteruskan, janganlah kita mahu berbalah sehingga akhirnya membuka ruang kepada pembangkang mengambil kesempatan,’’ kata sumber berkenaan.

Sementara itu Agendaily melaporkan, UMNO kini sedang berunding dengan Bersatu dan Pas untuk menerima calon Perdana Menteri daripada parti tersebut untuk menerajui tampuk kuasa di Putrajaya.

Menurut sumber, rundingan yang diketuai dua pemimpin dalam kem UMNO yang berbeza tersebut bagi memastikan Anwar Idan DAP tidak kembali menerajui kerajaan pusat.

‘’Rundingan tersebut ada mencadangkan nama calon PM dari UMNO, namun sekiranya mengikut hierarki parti nama Ahmad Zahid yang sepatutnya ditabalkan sebagai PM baharu tetapi ia mungkin mengundang kritikan kerana terpalit dengan kes mahkamahnya.

‘’Nama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak difahamkan turut antara yang dicadangkan sebagai calon PM baharu, ia memandangkan kononnya populariti dan penerimaan rakyat dalam media sosial yang seakan menyokong beliau,’’ lapor itu.

Selain itu, nama Ismail Sabri dan Menteri Kanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga dikatakan ditawarkan sebagai pengganti kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sekiranya berlaku peletakan jawatan esok.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *