Penduduk Pulau Pinang tidak perlu bimbang gangguan bekalan vaksin

PENDUDUK Pulau Pinang tidak perlu bimbang dengan penutupan empat buah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam hari ini berikutan gangguan bekalan vaksin Pfizer untuk negeri itu bermula Khamis lalu.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, penutupan itu hanya bersifat sementara iaitu hari ini sahaja dengan bekalan baharu vaksin dijangka diterima dalam tempoh kurang seminggu lagi.

Menurut beliau, ketika ini Pulau Pinang kekurangan kira-kira 20,000 dos vaksin Covid-19 yang melibatkan hanya beberapa ribu penerima.

“Kerajaan negeri yakin perkara ini tidak akan menjejaskan pelaksanaan program vaksinasi di negeri ini secara keseluruhannya kerana hanya empat PPV awam ini sahaja yang terlibat manakala PPV lain masih beroperasi seperti biasa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Semalam Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang memaklumkan empat PPV awam di negeri ini akan ditutup hari ini berikutan terdapat gangguan pembekalan vaksin Pfizer ke Pulau Pinang.

PPV awam terlibat adalah Kompleks Sukan Balik Pulau di daerah Barat Daya;  Dewan Balai Rakyat Bayan Baru (Barat Daya); Tapak Pesta di Sungai Dua  (Timur Laut) dan Dewan Millenium (Seberang Perai Utara).

Bagaimanapun JKNPP memaklumkan, kesemua PPV awam itu bagaimanapun akan beroperasi semula esok.

“Susulan itu, penerima dos dua vaksin Pfizer yang telah dijadualkan pada 15 Ogos hingga 19 Ogos akan dipinda ke 22 hingga 26 Ogos ini.

“Orang awam dinasihatkan sentiasa menyemak tarikh penjadualan dos dua pada aplikasi MySejahtera masing-masing,” demikian menurut kenyataan tersebut.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *