Mohon Agong kekalkan PM, kerajaan PN hingga PRU-15

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd Salleh mohon perkenan Yang di-Pertuan Agong supaya baginda mengekalkan Perdana Menteri dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Menurut beliau, langkah tersebut adalah yang terbaik ketika ini bagi memastikan kestabilan politik tidak tergugat dan usaha memerangi pandemik Covid-19 dapat diteruskan.

“Sekiranya Perdana Menteri dan kerajaan ditukar ketika ini, banyak masalah yang akan timbul termasuk merencatkan usaha memerangani Covid-19 yang mencecah lebih 20,000 kes ketika ini.

“Pada masa sama tidak ada calon Perdana Menteri yang layak ketika ini dan sekiranya Perdana Menteri serta kerajaan ditukar, belum tentu dapat menyelesaikan masalah Covid-19 di negara ini.

“Perdana Menteri atau kerajaan baharu nanti bukan ada magik apabila dilantik masalah Covid-19 akan selesai sekelip mata. Ini mustahil dan kerajaan PN sudah melakukan yang terbaik dalam memerangi pandemik ini,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan peribadi untuk Program Vaksinasi Berkelompok Felda Air Tawar 5 di Pejabat Kejora, Bandar Penawar di sini hari ini.

Jumaat lalu, Muhyiddin menawarkan kerjasama rentas parti antara kerajaan PN dengan parti di luar kerajaan sekiranya usul undi percaya terhadapnya diluluskan di Dewan Rakyat pada 7 September depan.

Menurutnya, cadangan itu dibuat bagi membolehkan kerajaan terus berfungsi ketika pandemik Covid-19 dengan sokongan bi-partisan di Parlimen dan mengelakkan kumpulan kleptokrat memerintah jika kemelut politik berterusan dan tidak diselesaikan segera.

Mengulas lanjut, Zakaria berpendapat, pembubaran Parlimen untuk PRU-15 juga tidak wajar kerana penggal untuk PRU-14 akan tamat tidak lama lagi dan tempoh masa yang ada ditumpukan untuk menangani Covid-19.

Semua pihak katanya, harus mematuhi titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semasa merasmikan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Khamis yang mahukan semua pihak berhenti berpolitik ketika ini.

“Titah Sultan Johor perlu difahami dalam konteks yang lebih luas iaitu kemelut politik negara dan bukan di Johor sahaja. Kita khuatir jika Perdana Menteri meletak jawatan keadaan bertambah buruk dan perebutan kuasa berlaku,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *