Kerusi PM belum kosong, sudah berebut…siapa ada majoriti?

SEPERTI diduga apabila tercetus khabar bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin akan berundur sebagai Perdana Menteri maka dikhabarkan bertebaranlah parti-parti politik termasuk pembangkang bertungkus lumus mencari sokongan bagi membolehkan pemimpin-pemimpin masing-masing dilantik menggantikan Ahli Parlimen Pagoh itu.

Pelbagai gelagat dapat disaksikan selain dalam kalangan pemimpin UMNO mula ‘berpesta menyerang’ habis-habisan ahli-ahli Parlimen UMNO yang sebelum ini menyokong kerajaan termasuk menasihatkan mereka supaya bertaubat (entah siapa sebenarnya patut bertaubat).

Walaupun parti-parti politik tidak tahu apa yang akan berlaku esok, tetapi masing-masing sudah teruja kerana bagi mereka inilah masa terbaik untuk mencapai cita-cita pemimpin mereka menjadi Perdana Menteri dan kembali menjadi Perdana Menteri.

Soalnya, siapakah yang akan memiliki majoriti dalam Dewan Rakyat? Bagaimana kalau majoriti tidak tercapai? Apakah akan berlaku kerajaan tergantung?

Setakat hari ini Perikatan Nasional (PN) masih mempunyai kerusi terbanyak iaitu 100 kerusi termasuk 23 kerusi daripada ahli Parlimen UMNO, 18 kerusi Pas, MCA (2) dan MIC 1. Kalaupun ahli Parlimen UMNO, MCA, MIC dan PBRS yang menyokong kerajaan beralih arah – BN secara keseluruhannya hanya memiliki 42 kerusi sahaja.

Di pihak pembangkang pula, Pakatan Harapan diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim menguasai 89 kerusi manakala blok Tun Mahathir Mohamad hanya ada 14 kerusi (termasuk MUDA). Untuk mencapai majoriti mudah mana-mana parti atau gabungan harus mendapat 111 kerusi.

Isunya bolehkah kesemua parti terlibat mencapai kesepakatan untuk menubuhkan satu blok kerajaan dengan memastikan mereka memperolehi majoriti tersebut?

Adakah blok Dr.Mahathir akan menyokong PH sekaligus akan membolehkan Anwar menjadi Perdana Menteri? Adakah 15 ahli Parlimen UMNO bersama Ahmad Zahid akan menyokong Anwar? Bagaimana pula dengan pendirian parti-parti dalam Gabungan Parti Sarawak yang menguasai 18 kerusi? Begitu juga Pas mahukah mereka menyokong Anwar sama seperti menyokong DAP untuk turut berkuasa memandangkan DAP adalah anggota PH?

Kalau UMNO mahu pemimpin mereka menjadi Perdana Menteri? Siapakah calonnya adakah Datuk Seri Najib Tun Razak yang masih bergelut dengan kes mahkamah? Atau Ahmad Zahid yang juga sedang menghadapi perbicaraan mahkamah?

Wajarkah mereka dicalonkan sedangkan lebih baik jika mereka selesaikan dulu kes masing-masing? Lebih daripada itu adakah PH dan Dr.Mahathir akan bersetuju?

Jika mahu mengambil calon daripada Bersatu…siapa? adakah Datuk Seri Hamzah Zainuddin atau Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dianggap mempunyai ‘musuh ketara’ dalam PH, UMNO dan blok Dr.Mahathir.

Apapun tiga perkara yang perlu diberi perhatian. Pertama, siapapun yang mahu dicalonkan oleh parti-parti sebagai Perdana Menteri mestilah bersih daripada segala-galanya, tidak boleh ada apa-apa parut.

Kedua mesti mendapat majoriti yang kukuh bukan sekadar ‘majoriti cukup makan’ sahaja dan ketiga parti-parti mesti mencapai kesepakatan untuk menyelesaikan isu Perdana Menteri ini bagi mengelakkan kerajaan tergantung sehingga kita terpaksa menyambut Hari Kemerdekaan tanpa Perdana Menteri dan barisan Kabinet.

Dalam keadaan negara berhadapan dengan kemelut pandemik Covid-19, isu politik ini harus diselesaikan secepat mungkin ketika Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) semakin menampakkan hasilnya. Kalau kemelut politik berterusan yang akan terjejas bukan elit-elit politik tetapi rakyat!

Bagaimanapun penulis yakin Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah memiliki kebijaksanaan untuk menyelesaikan kemelut ini seandainya betul berlaku peletakan jawatan Perdana Menteri oleh Muhyiddin, esok.

Justeru ahli-ahli politik boleh melobi mencari sokongan tetapi akhirnya perlu menghormati keputusan Seri Paduka dalam soal tersebut. Cukuplah dengan ‘huru-hara’ yang mereka timbulkan, rakyat sudah muak.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *