KEPUTUSAN UMNO menarik sokongan dan keluar dari Perikatan Nasional (PN) bukan sahaja memberi kesan langsung kepada kerajaan dan keabsahan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, malah turut memberi pelbagai cabaran kepada UMNO.
Perkara itu diakui oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata, keputusan sebesar dan sepenting itu pasti mempunyai risiko dan geloranya.
“Sudah lumrah politik, pasti ada badai dan gelombangnya. Yang mustahak adalah cara kita berhadapan dengan segala cabaran tersebut.
“Namun seperti yang telah saya tegaskan berulang kali, perjuangan, kekuatan dan pendirian parti adalah lebih besar dan lebih utama dari segala kedudukan dan jawatan mana-mana individu dan personaliti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohamed Khaled menambah, UMNO mesti hadir dan berdiri sebagai sebuah ketumbukan orang Melayu yang mempunyai kebersamaan tekad dan kebulatan hati serta bukannya berpecah-pecah dan berlainan haluan.
Lebih-lebih lagi, kata beliau, dalam keadaan sekarang yang sangat jelas bahawa Perdana Menteri dan PN sudah tidak berupaya untuk mempertahankan kerajaan yang ada.
“Maka, UMNO mesti kembali bersatu hati. Kepada semua Ahli Parlimen UMNO di dalam PN, ruang dan tempat kalian dalam parti tidak pernah hilang.
“Perjalanan kita semua dalam UMNO telah sama-sama mendewasakan. Persahabatan mesti kekal dan abadi. Kita jangan sampai berkerat rotan berpatah arang. Mereka yang berbeza pandangan dengan kita bukan musuh. Ingat gigi dengan lidah, ada masa tergigit jua,” jelasnya.
Mohamed Khaled turut mengingatkan, PN itu tidak lebih dari sekadar ruang untuk UMNO menyumbang kepada bangsa dan negara dan parti itu dahulu menyokongnya apabila wujud kebaikan yang jelas kepada bangsa dan negara.
“Namun, UMNO tidak hidup hanya untuk hari ini. UMNO melihat masa depan. Atas dasar itu, insya-Allah UMNO akan segera meninggalkan episod ini untuk membuka lembaran baharu yang lebih penting.
“Buat masa sekarang, keutamaan UMNO adalah untuk memberikan sentuhan kepada penyelesaian krisis nasional dan kemenangan UMNO dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya.
Beliau memberitahu, untuk melakukan perkara itu, UMNO mesti segera bersatu hati dan mengeratkan semula perpaduannya di semua peringkat sama ada ahli, pemimpin apatah lagi Ahli-ahli Parlimen.
“Kita mesti kembali menjadi parti yang kuat, bersatu dan memfokuskan kepada perkara yang betul,” jelasnya.
Leave a Reply