Jururawat hamil anak sulung meninggal dunia akibat Covid-19

SEORANG jururawat di Kelantan yang sedang hamil tidak sempat menatap wajah bayi ditunggu selama 10 tahun selepas meninggal dunia akibat Covid-19, di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai, semalam.

Wanita itu, Norfaizah Mohamed, 34, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 3.02 pagi ketika kandungannya berusia 26 minggu.

Bayi tidak cukup bulan itu bagaimanapun berjaya dikeluarkan menerusi pembedahan, berikutan keadaan jururawat itu yang semakin tenat.

Allahyarham dipercayai berada dalam kategori lima jangkitan Covid-19 selepas dilapor mendapat penyakit berkenaan daripada pesakitnya.

Anak sulung jururawat itu ketika ini ditempatkan di unit rawatan intensif neonatal (NICU) bagi rawatan lanjut.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Zaini Hussin mengesahkan jururawat itu meninggal dunia akibat Covid-19, semalam.

Menurutnya, Allahyarham adalah jururawat di Hospital Gua Musang dan seorang petugas berdedikasi.

Tambahnya, jenazah wanita itu dikebumikan di Kampung Lembaga, dekat Gua Musang.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *