Oleh Abu Ubaidillah Rahman
HANYA 60 peratus daripada 150,000 ibu mengandung yang mendaftar dengan aplikasi MySejahtera sudah mendapatkan vaksin Covid-19.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, jumlah 60 peratus itu sekurang-kurangnya sudah satu dos vaksin.
Berdasarkan perkembangan itu, beliau mahu ibu mengandung diberi keutamaan mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 sebagai langkah mengurangkan risiko jangkitan virus berkenaan kepada wanita hamil dan anak dalam kandungan.
Jelasnya, ini susulan beberapa kes positif Covid-19 yang dilaporkan membabitkan golongan itu sebelum ini.
“Setiap hari kita dengar kes Covid-19 dan cara untuk elak atau mengurangkan jangkitan ini tidak ada cara lain melainkan dapatkan vaksin.
“Bagi kes ibu mengandung, kerajaan telah berikan keutamaan kepada mereka yang usia kandungannya antara 14 sehingga 33 minggu mendapatkan vaksin di beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) khas seperti PPV Pusat Konvensyen Sunway Pyramid (Petaling Jaya) yang saya lawati dahulu.
“Jadi kita berharap ibu-ibu mengandung yang telahpun mendaftar dalam MySejahtera ini akan terus diberikan keutamaan mendapatkan vaksin kerana vaksin yang diberikan itu bukan sahaja untuk wanita hamil tetapi anak dalam kandungannya juga,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas meninjau dan memantau operasian Rumah Seri Kenangan Seri Iskandar, di Seri Iskandar, hari ini.
Rina berkata, kementeriannya akan mempergiat program advokasi ke seluruh negara untuk menggalakkan lebih ramai wanita hamil ini tampil menerima suntikan imunisasi masing-masing.
Katanya, daripada pemantauan dibuat, terdapat segelintir ibu mengandung masih berasa ragu dengan kesan suntikan berkenaan dan terdapat juga ahli keluarga serta suami yang tidak memberikan keizinan.
Leave a Reply