Oleh Abu Ubaidillah Rahman
PENGUMUMAN Perdana Menteri untuk merangka persefahaman rentas parti semalam adalah tepat pada masanya malah dilihat dapat mengakhiri kemelut politik tanah air.
Bendahari Majlis Ayahanda Malaysia (Masia), Zamrin Hamzah berkata, semua pihak terutama parti pembangkang wajar menerima tawaran itu dengan tangan terbuka demi kepentingan rakyat dan negara.
Beliau berkata, Tan Sri Muhyiddin Yassin amat berjiwa besar apabila memberikan tawaran itu walaupun tahu akan dikecam pihak pembangkang.
“Demi rakyat dan negara, kerajaan Perikatan Nasional (PN) rela berkongsi kuasa dengan pembangkang demi memerangi Covid-19.
“Saya amat bersimpati dan teruja dengan kepimpinan Perdana Menteri. Belum ada pemimpin sebaik ini yang sanggup berkorban dalam mendepani masalah rakyat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Muhyiddin menawarkan kerjasama rentas parti antara kerajaan PN dengan parti di luar kerajaan sekiranya usul undi percaya terhadapnya diluluskan di Dewan Rakyat pada 7 September depan.
Menurutnya, cadangan itu dibuat bagi membolehkan kerajaan terus berfungsi ketika pandemik Covid-19 dengan sokongan bi-partisan di Parlimen dan mengelakkan kumpulan kleptokrat memerintah jika kemelut politik berterusan dan tidak diselesaikan segera.
Mengulas lanjut, Zamrin yang Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Cawangan Masai berkata, rakyat dan pembangkang perlu faham Covid-19 adalah wabak alaf baharu malah melanda seluruh dunia.
Katanya, adalah tidak wajar kesalahan diletakkan pada bahu kerajaan PN kerana semua kerajaan di dunia masih berperang dengan pandemik itu malah belum satu pun yang sudah berjaya.
Tambah beliau, Perdana Menteri berusaha untuk melakukan vaksinasi terhadaop 35 rakyat negara ini sebagai langkah pencegahan Covid-19.
“Saya lihat Tan Sri Muhyiddin tabah dan cekal menghadapi cabaran ini. Semoga Malaysia kembali kepada landasan yang betul dengan pemulihan ekonomi negara,” katanya.
Leave a Reply