Oleh Abu Ubaidillah Rahman
PERSATUAN Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) menggesa semua ahli politik supaya menjadikan titah Sultan Johor pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor sebagai pedoman dan berhenti berebut kuasa.
Presiden PVATM, Datuk Sharudin Omar berkata, titah Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang tidak teragak-agak untuk membubarkan DUN Johor jika berlaku keadaan yang menjatuhkan kerajaan sekarang, perlu dipandang serius semua pihak.
Semua pemimpin politik katanya, perlu sedar tanggungjawab dipikul mereka sebagai wakil rakyat.
“Dalam keadaan pandemik Covid-19 yang masih melanda negara ketika ini, soal paling penting memikirkan tentang kebajikan rakyat serta kedudukan ekonomi dan bukannya membuat percaturan politik, bagi mengambil alih kuasa sebagai kerajaan.
“Kerajaan yang sah ketika ini perlu diberi ruang untuk meneruskan usaha menangani masalah Covid-19 tanpa ada cubaan bagi menjatuhkan atau mengambil alih kuasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, ahli politik pembangkang juga perlu bekerjasama menyumbang idea dan mencari titik persamaan bagi mendahulukan kepentingan negara.
“Ini kerana titah Sultan Ibrahim itu pandangan tegas dan mungkin juga pandangan majoriti Raja-Raja Melayu sebagai ketua negeri masing-masing.
“Ahli-ahli politik diingatkan supaya menyahut seruan baginda agar berhenti berebut kuasa kerana polemik yang berterusan hanya merugikan rakyat dan negara,” katanya.
Sultan Ibrahim ketika merasmikan pembukaan rasmi DUN Johor kelmarin, mengingatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri itu tidak menjadikan persidangan DUN sebagai medan perbalahan politik dan perebutan kuasa.
Dalam titahnya, baginda turut mengingatkan baginda tidak akan melayan permainan politik mana-mana wakil rakyat yang terus bertelagah hingga mengganggu gugat negeri dan kerajaannya.
“Jika berlaku keadaan yang menjatuhkan kerajaan saya sekarang, maka saya tidak teragak-agak untuk membubarkan DUN Johor. Saya rasa tidak perlu ada wakil rakyat jika masing-masing hanya fikirkan tentang kedudukan sendiri bukannya kepentingan rakyat.
Leave a Reply