Kerajaan kaji kos, harga, bekalan kit ujian kendiri Covid-19

Oleh Abu Ubaidillah Rahman

KERAJAAN melakukan libat urus serta kajian kos, harga dan bekalan kit ujian kendiri Covid-19 dengan syarikat yang dilesenkan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, usaha itu membabitkan setiap rantaian pengedaran, pembekalan sehingga di peringkat runcit seperti farmasi dan klinik.

“Kajian ini bertujuan menentukan harga runcit kit ujian kendiri Covid-19 tidak membebankan pengguna.

“Kit ujian itu kini menjadi keperluan penting kepada pengguna untuk mengurus dan menjaga keselamatan kesihatan secara kendiri dalam situasi semasa negara berhadapan dengan cabaran wabak Covid-19.

“Saya mengambil maklum isu harga runcit kit ujian kendiri COVID-19 di pasaran buat masa ini. Saya sudah mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi meneliti situasi ini dan menguruskan isu harga runcit kit ujian kendiri Covid-19 sebaik mungkin demi kepentingan pengguna,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Alexander berkata, KPDNHEP juga menyarankan pengguna lebih berhati-hati dengan pembelian kit ujian kendiri COVID-19 di pasaran dengan membuat rujukan di laman sesawang rasmi Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) di pautan https://portal.mda.gov.my/ untuk merujuk senarai syarikat mendapat kelulusakan pihak itu mengedar dan menjual kit ujian COVID19 untuk kegunaan awam.

KKM semalam mengesahkan 11 kit ujian kendiri COVID-19 mendapat kelulusan bersyarat dengan tujuh daripadanya menggunakan sampel air liur, manakala selebihnya calitan hidung.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba, dilaporkan berkata, kit ujian yang mendapat kelulusan bersyarat menerusi MDA itu boleh diperoleh di fasiliti awam dan swasta.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *