TREND pemulihan ekonomi negara yang berterusan adalah bukti jelas bahawa dasar kerajaan telah membuahkan hasil walaupun dalam keadaan yang amat mencabar, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata melangkah kehadapan dengan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan peningkatan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) ekonomi Malaysia dijangka beransur pulih.
“Hari ini, kita telah mengumumkan bahawa ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 16.1 peratus pada suku kedua 2021,” katanya dalam ucapan khas Bersama Memulihkan Negara yang disiarkan di stesen televisyen tempatan, hari ini.
Bank Negara Malaysia (BNM) semasa mengumumkan pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi suku kedua 2021 hari ini berkata pembukaan semula ekonomi akan menyokong pemulihan secara beransur-ansur pada suku keempat tahun ini.
Pemulihan dijangka terus pesat pada 2022 disokong oleh kegiatan ekonomi yang beransur-ansur kembali normal serta limpahan kesan positif daripada permintaan luaran yang terus meningkat.
Muhyiddin berkata perkembangan ini disokong oleh Belanjawan 2021, serta pakej-pakej rangsangan dan bantuan Kerajaan.
“Pasaran kewangan dan modal kita juga menunjukkan daya tahan yang baik pada suku kedua 2021.
“Sasaran 50 peratus populasi dewasa negara divaksinasi sepenuhnya pada akhir Ogos akan membolehkan negara membuka semula kegiatan ekonomi dan sosial secara lebih meluas untuk memacu pemulihan ekonomi negara.
“Saya amat percaya, kita akan dapat memulihkan negara ini bersama-sama dan mengembalikan semula kegemilangannya,” katanya.
Leave a Reply